Seorang peniaga di Vietnam sanggup menanggung kerugian demi pendiriannya yang tegas menyatakan solidariti bersama masyarakat Palestin.
Mencuri perhatian ramai, pengusaha restoran terbabit dirakam menghalau beberapa pelanggan iaitu satu keluarga yang didakwa berasal daripada negara haram, Israel.
Difahamkan, keluarga tersebut sedang melancong di Vietnam dan ingin mengunjungi sebuah restoran yang terletak berhampiran dengan landasan kereta api di Hanoi itu.
Pelanggan terbabit bagaimanapun diusir oleh pengusaha restoran tersebut bersama laungan ‘Free Palestin’ (bebaskan Palestin) untuk menyatakan pendirian tegasnya.
Tindakan peniaga asal Vietnam itu sempat dirakam oleh pelanggan yang tidak dapat menerima dirinya dihalau sebelum memuat naik video tersebut di laman media sosial.
“Free Palestine. Kami hanya terima manusia dan binatang seperti anjing dan kucing sahaja. Jangan datang ke restoran ini. Premis ini hanya hanya untuk manusia, anjing dan kucing. Kamu bukan manusia. Pergi kamu!,” ujar peniaga berkenaan.
Pemilik rakaman tersebut sempat bertanyakan kepada peniaga tersebut adakah dirinya akan dianggap manusia sekiranya dia merupakan seorang penganut agama Yahudi.
Tegas mengarahkan agar pelanggan itu segera beredar, peniaga Vietnam berkenaan juga sempat menyampaikan kebimbangannya jika pelancong Israel terbabit dibenarkan masuk.
“Di sini ada kanak-kanak. Saya takutlah nanti akan ada bom datang secara tiba-tiba dan menyasarkan anak kecil tersebut. Free Palestine. I don’t care about you. Go to hell (saya tak kisahkan awak, pergi ke neraka).” Ujar peniaga itu.
Tidak terus beredar, pelancong itu bertindak merakam wajah ahli keluarga peniaga bersama lokasi restoran dengan harapan premis tersebut diboikot pelanggan lain.
Peniaga asal Vietnam itu sebaliknya menerima sokongan ramai susulan penularan video tersebut di media sosial dengan rata-ratanya mengagumi ketegasannya dalam menyatakan solidariti.
Ramai juga pengguna platform X tampil mendoakan agar restoran tersebut meraih lebih banyak keuntungan sebagai ganti dan dikunjungi oleh ramai pelanggan selepas kejadian itu.
“Semua orang yang memiliki akal sihat pasti membenci (perbuatan) zionis Israel,” komen seorang pengguna selepas menonton perkongsian tersebut di laman X.
“Mantap. Ini bukan soal apakah agama kamu. Tetapi mengenai kamu yang masih mempunyai hati ataupun tidak.” Kata pengguna lain yang mengagumi tindakan peniaga Vietnam berkenaan.