Peningkatan peruntukan, suntik semangat anggota ATM

Peningkatan peruntukan, suntik semangat anggota ATM

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berharap peningkatan kadar peruntukan yang diterima kementeriannya hari ini, akan menyuntik semangat anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada masa hadapan.

Beliau berkata, dalam belanjawan kali ini, terdapat peningkatan terutamanya dalam bentuk kebajikan anggota tentera iaitu Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) yang meningkat daripada RM120 juta kepada RM150 juta.

“Menariknya hari ini, julung kalinya bayaran secara ‘one-off’ kepada penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) dan anggota tentera yang tidak berpencen diumumkan ketika pembentangan bajet.

“Walaupun tuntutan kami lebih tinggi daripada itu, tetapi dengan pemberian ini, saya amat menghargainya. Semoga tahun depan peruntukan ini akan lebih meningkat demi anggota tentera kita yang berjasa ketika zaman konfrontasi dan juga memerangi komunis,’ katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen selepas pembentangan Belanjawan 2020 hari ini.

Pembentangan Belanjawan 2020 hari ini menyaksikan Kementerian Pertahanan sebagai penerima ke-5 terbesar dengan jumlah peruntukan sebanyak RM15.6 bilion, iaitu meningkat RM1.67 bilion atau 12 peratus berbanding RM13.9 bilion yang diterima pada tahun 2019.

Dari jumlah ini, sebanyak RM12.5 bilion adalah peruntukan Belanja Mengurus manakala RM3.08 bilion adalah Belanja Pembangunan.

Kementerian Pertahanan juga mendapat peruntukan RM150 juta bagi membaiki dan menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), bayaran secara ‘one-off’ RM500 Elaun Kenangan kepada penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) dan Bantuan Khas Kewangan RM250 kepada penerima Bantuan Harapan Negara dari kalangan veteran ATM berpencen dan tidak berpencen.