Penipuan, sogokan bakal cemari PRU Malaysia, kata media asing

Penipuan, sogokan bakal cemari PRU Malaysia, kata media asing

“Pencuri” adalah satu perkataan yang kerap anda dengar di Malaysia akhir-akhir ini, dan dalam banyak keadaan ia ditujukan kepada Perdana Menteri Najib Razak dan kerajaannya, kata Inquirer.

Hal tersebut berlaku menurut laporan tersebut, berikutan skandal rasuah 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) yang disifatkan oleh Peguam Negara Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini sebagai kes kleptokrasi terburuk beliau dan penyiasat-penyiasatnya pernah saksikan.

Bagaimanapun Najib dan kerajaan Malaysia menafikan melakukan apa-apa kesalahan.

Tetapi bagi 14.8 juta pengundi berdaftar dan juga parti-parti pembangkang di Malaysia, kata Inquirer, apa yang lebih merunsingkan dan menakutkan mereka adalah perihal persempadanan semula pilihan raya yang bakal diluluskan oleh parlimen.

Kesemua ini hampir pasti akan menyelamatkan parti pemerintah, Umno, yang sejak merdeka pada 1957 belum pernah tergugat.

Perihal persempandanan semula kawasan pilihan raya ini bermula lewat 2016, pada waktu skandal 1MDB mula menggugat untuk menamatkan pentadbiran Najib, dan ia telah melalui proses mendapatkan pandangan umum serta deraf kedua.

Terdapat tanda-tanda versi terahirnya cukup dramatik – bukan sahaja ia akan memastikan kemenangan buat parti pemerintah, tetapi rakyat dibahagikan mengikut kaum dan kepercayaan agama dengan lebih ketara.

“Apa yang akan berlaku dalam masa panjang kita akan mempunyai kawasan parlimen yang memisahkan kaum dengan sangat ketara. Pada prinsipnya kami membantah, bukan kerana kami akan kalah, tetapi ia sangat tidak baik untuk negara ini,” laporan tersebut memetik kenyataan Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Nurul Izzah Anwar yang juga Naib Presiden PKR pula dilaporkan berkata, PM bukan sahaja mencuri khazanah negara, tetapi kini pilihan raya juga turut dicuri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, bagaimanapun melalui Pengerusinya, Hashim Abdullah kata Inquirer, menafikan persempanan semula itu bertujuan memanipulasi pilihan raya bagi mamastikan parti pemerintah menang dalam PRU14 nanti.

Di utara Johor, 1000 orang anggota tentera telah didaftarkan sebagai pengundi di sebuah kem tentera yang masih kosong dan masih dalam pembinaan.

Pelbagai analisis yang dibuat mengenai senarai pengundi Malaysia menunjukkan terdapat ramai pengundi didaftarkan di tengah ladang kelapa sawit, bangunan tandas, kedai kopi dan cawangan bank.

Di Selangor, kata laporan tersebut, terdapat 136,000 orang pengundi tanpa alamat.

“Apa yang akan berlaku ialah Najib akan terus menipu,” Inquirer memetik kata Tun Mahathir Mohamad.

Beliau akan menggunakan sejumlah wang yang besar untuk merasuah rakyat. Mereka buat ekspo yang menyediakan cabutan bertuah, beri duit, peralatan dapur, motorsikal, malah rumah dan tanah, kata Mahathir lagi menurut laporan itu.

COMMENTS

Wordpress (0)