Malaysia Dateline

Penjaga stor dihukum penjara 30 tahun penyebab guru mati

Seorang penjaga stor yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) dihukum penjara 30 tahun atas tuduhan menyebabkan kematian guru, N Kumar, 54, dalam kejadian di Permatang Damar Laut dekat Bayan Lepas pada Julai tahun lalu.

Tertuduh, S Jelatheswaran, 37, hanya mengangguk faham di Mahkamah Sesyen di Kulim hari ini, selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Hakim Mirza Mohamad.

Mengikut pertuduhan, Jelatheswaran didakwa dengan niat mencetus bencana hingga menyebabkan kematian mangsa di pondok batu belakang sebuah rumah di Permatang Damar Laut, di antara jam 4.30 petang 27 Julai hingga 9.50 pagi 28 Julai lalu.

S Jelatheswaran didakwa melakukan kesalahan terbabit mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, yang jika didapati bersalah boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan didenda.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, S Pavitra, manakala tertuduh pula diwakili peguam bela, Tamil Salvan.

Pavitra memohon mahkamah menawarkan jaminan RM20,000 dan beberapa syarat tambahan kepada tertuduh, lapor BH.

Walau bagaimanapun, Tamil Salvan merayu jaminan dikurangkan memandangkan anak guamnya tiada pendapatan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya, selain perlu menanggung tiga anak yang masih kecil.

Mirza kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan termasuk tidak mengganggu mana-mana saksi pihak pendakwaan.

Tertuduh juga diarah melapor diri setiap dua minggu di Balai Polis Jalan Pattani, menyerahkan pasport jika ada dan dikehendaki memaklumkan kepada pegawai penyiasat sekiranya ingin keluar dari Kedah dan Pulau Pinang.

Baca juga ‘Untung secupak rugi segantang’, terima suapan RM400 tapi kena denda RM3,000

Baca juga Kereta baru boleh beli tapi tak mampu nak bayar tol, netizen perli pemandu Proton X50