Penjaja rambo warga asing ‘berkuasa’ di Bukit Bintang, kaut untung RM3k sehari hanya jual bunga

Oleh KIM SYAZIE

Pendedahan mengenai modus operandi ‘penjaja rambo’ warga asing di Jalan Bukit Bintang yang meraih keuntungan dengan menjual kuntuman bunga menjadi perbincangan hangat orang ramai.

Mereka dikatakan berniaga secara haram, menyasarkan pelancong dan rakyat Malaysia yang berjalan-jalan di sekitar ibu kota.

Dengan hanya menjual bunga, permainan kanak-kanak, belon dan hiasan berlampu di sekitar kawasan terbabit, penjaja warga asing ini mampu meraih keuntungan sehingga ratusan ringgit satu malam.

Tanpa perlu menyewa premis dan membayar lesen perniagaan, mereka mampu mengaut lebih banyak pada waktu hujung minggu.

Menurut laporan Harian Metro, seorang penjaja kuntuman bunga mampu menjual antara 100 hingga 200 bunga pada cuti hujung minggu.

Mereka akan mula berniaga dari jam 5 petang di kawasan pusat beli-belah Pavilion sehingga ke Jalan Conlay.

“Satu bunga dijual dengan harga RM15, memang di sini ramai orang terutama pelancong asing, mereka tidak tahu kami ini warga asing.

“Kami akan berjalan kaki di kawasan tumpuan orang ramai, di sini memang jarang operasi dan kalau ada operasi, kami akan lari pulang ke rumah memandangkan kami hanya tinggal di kawasan berhampiran,” kata seorang penjaja Bangladesh yang ditemui wartawan akhbar terbabit.

Sementara itu, seorang penjaja wanita dari Filipina mengakui dia memperoleh keuntungan yang tinggi dengan menjual belon berlampu.

“Saya sudah tiga bulan menjaja di kawasan ini dan tidak pernah sekali pun dihalang, awak ini dari mana dan kenapa tidak membenarkan kami berniaga?” kata wanita itu yang dilihat tidak selesa dengan soalan yang diajukan wartawan.

Tindakan kumpulan peniaga jalanan ini dilihat mencabar pihak berkuasa apabila mereka tidak mempunyai lesen selain menyebabkan gangguan halangan dan kebersihan di laluan awam utama.

Baca juga: Pepijat atas tilam, jangan panik! Guna satu alat ini sahaja boleh selesai masalah