Malaysia Dateline

Penjara 10 tahun, denda RM970 juta untuk Rosmah

Datin Seri Rosmah Mansor dijatuhkan hukuman 10 tahun penjara untuk ketiga-tiga kesalahannya manakala denda RM970 juta untuk ketiga-tiga kesalahan itu.

Namun begitu, hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini MazlanĀ  memutuskan hukuman penjara itu berjalan serentak.

Hakim bagaimanapun membenarkan hukuman ini ditangguhkan dan membenarkan rayuan dibuat oleh Rosmah.

Sebelum ini, suami beliau, Datuk Seri Najib Razak juga melalui proses yang sama iaitu dibenarkan membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan dan seterusnya ke Mahkamah Persekutuan.

Namun kesemua sembilan hakim (satu Mahkamah Tinggi, tiga Mahkamah Rayuan dan lima Mahkamah Persekutuan) yang mengadili perbicaraan beliau mendapati beliau bersalah dan hukuman Mahkamah Tinggi dikekalkan.

Hakim Mohamed Zaini sebelum menjatuhkan hukuman bersalah, menolak permohonan Rosmah yang memohon beliau menarik diri dari kes ini ekoran draf penghakiman bocor dan dikatakan dibuat oleh pihak lain.

Rosmah didapati bersalah untuk ketiga-tiga pertuduhan berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.