Malaysia Dateline

Penjara dan buku…

Bagi sesetengah ahli politik yang dipenjarakan, penjara adalah relung ilmu, tempat mereka bermunajat, merenung kembali perjuangan mereka, menambah ilmu dan beribadat.

Oleh itu setiap ahli poliitk yang masuk penjara melalui liku-liku hidup yang berbeza. Ada yang berubah menjadi baik, berilmu, beriman lagi bertakwa. Ada pula yang berubah menjadi semakin teruk dan buruk.

Terdapat kalangan ahli politik yang bermanfaat masa mereka dalam penjara dengan berkarya sebagai suatu bentuk ekspresi diri atau menghasilkannya selepas keluar dari penjara.

Antaranya Allahyarham Kassim Ahmad, susuk yang saya ingati dan paling menarik dalam jagat politik negara.

Penglibatan Pak Kassim dalam politik telah membawanya ke puncak kepimpinan Parti Sosialis Rakyat Malaysia (Ketua I PSRM). Beliau ditahan di bawah akta ISA, selama hampir lima tahun (1976-1981).

Sebaik dibebaskan, Pak Kassim menerbitkan catatan pengalaman beliau sejurus sebelum di tangkap dan sepanjang ditahan di bawah akta berkenaan.

Universiti kedua adalah antara buku yang terkenal hasil karya beliau.

Universiti Kedua adalah penjara di mana Pak Kassim menggunakan banyak masa dengan menekuni Al Quran, menelaah siang dan malam semasa kelapangan di dalam sel.

Pak Kassim menghabiskan banyak masa di penjara dengan membaca dan menulis.

Seoran lagi yang saya ingat ialah Allahyarham Dato’ Harun Idris adalah Menteri Besar Selangor Kelapan yang paling lama memerintah di dalam Selangor dari 1964 – 1976.

Allahyarham dipenjarakan di Penjara Pudu selama tiga setengah tahun kerana isu kelulusan pinjaman Bank Rakyat kepada Syarikat Tinju Dunia untuk penganjuran pertandingan tinju antara Muhamad Ali dan Joe Bugner di Kuala Lumpur pada 1 Julai 1975, pada masa itu di mana Allahyarham pada ketika itu adalah Pengerusi Lembaga Pengarah Bank Rakyat.

Namun terdapat dakwaan Allahyarham dipenjara disebabkan oleh ulah politik.

Buku `Diari dari Penjara’ adalah coretan atau kisah daripada cerita atau sisi Allahyarham Dato’ Harun Idris melaluinya diarinya yang dibahagikan kepada 2 bahagian.

Diari bahagian 2 bersambung pada 3 Januari 1979 semasa Allahyarham di dalam penjara sehingga catatan terakhir pada 31 Disember 1981 iaitu selepas lebih kurang 5 bulan Allahyarham dibebaskan dari penjara pada 1 Ogos 1981 (malam Hari Raya Aidilfitri).

Seorang lagi yana saya ingat ialah Syed Husin Ali dengan bukunya Two Faces yang mengisahkan pengalaman beliau semasa enam tahun dalam tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Penahanan beliau berikutan demontrasi pelajar terhadap kemiskinan dan kenaikan harga keperluan harian yang dialami penduduk Baling pada 1974.

Di peringkat antarabangsa, Nelson Mandela yang dipenjarakan selama 27 kerana menentang kerajaan Apartheid dibebas dan menjadi Presiden kulit hitam pertama di Afrika Selatan menghasilkan buku Conversation with my self.

Dahulunya ramai juga para pemimpin sosialis dan komunis yang dipenjarakan menghasilkan buku seperti Tan Malaka dengan karya Dari Penjara ke Penjara, pemimpin Parti Komunis Itali, Antonio Gramsci dengan `Prison Notebooks’.
Bapak Prameodya Ananta Toer terkenal dengan novel tetralogi Bumi – Bumi Manusia, Anak Semua Bangsa , Jejak Langkah dan Rumah Kaca semasa dalam tahanan Pulau Buru pada tahun 1965-1979.

Bayangkan dalam keadaan serba kekurangan, ingatan beliau yang begitu kuat dengan kreativiti yang unik, beliau berjaya menghasilkan novel-novel ini.

Teringat pula kepada seorang pejuang Islam lintas zaman bernama Andi Mappetahang Fatwa, anak kelahiran Bone, Sulawesi Selatan, menitipkan kenangannya bertajuk “Dari Cipinang ke Senayan” dan ‘Menggugat Dari Balik Penjara” merupakan pengalaman beliau lebih 18 tahun dipenjara pada era orde lama. Akhirnya, beliau keluar menjadi Wakil Ketua Dewan Perwakilan Rakyat Parlimen Indonesia.

Pemimpin Islam Ikwanul Muslimin, AsSyahid Syed Qutb menghasil karya tafsir Quran Fi Zilal Al Quran (Di Bawah Bayangan Al Quran) semasa di dalam sel tahanan di Mesir.

Datuk Seri Anwar Ibrahim hidup dalam tahanan di antara 1974-1976, 1999-2004 hingga 2015-2018, tetapi sayangnya tidak menghasilkan buku kisahnya dari penjara atau setelah bebas dari penjara.

Seingat saya setakad ini beliau menghasilkan dua buah buku iaitu The Asian Renainsance'(1996) dan ‘Menangani Perubahan (1986).

Mungkin kerana kesibukan dalam kancah perjuangan menegakkan keadilan , jika tidak sudah pasti ada sesuatu yang boleh dipelajari oleh generasi muda.

Sekiranya Anwar menulis catatan hidupnya, (mungkin juga pada suatu masa nanti) pastinya merupakan rakaman sejarah yang penting dan bermakna kepada negara.

Banyak rahsia dan perkara yang tidak diketahui akan didedahkan beliau untuk tatapan generasi muda supaya dapat dipejalari dalam konteks politik, agama kerajaan, kepimpinan, antarabangsa dan seumpamanya

Mantan Perdana Menteri ke-6, Mohammad Najib Abdul Razak didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan rasuah diharapkan dapat menitipkan kisahnya ketika berhadapan dengan kehidupan di sebalik jeriji besi.

Tetapi jika diberikan keampunan tiadalah kisah menarik untuk dicatatkan.

Rakyat mesti hendak mengetahui kisah dan pandangan seorang bekas Perdana Menteri secara peribadi mengenai hukuman penjaranya dan perjuangan politik beliau.

Penulis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)

Baca juga: Imam Masjidil Haram dipenjara 10 tahun kerana menyampaikan khutbah kritik konsert haram

Baca juga: Majikan tak bayar gaji sampai RM5,000, warga pakistan ditahan curi motosikal sebab tak puas hati