Malaysia Dateline

Penjara dan denda RM1 juta terhadap pencemar air Sungai Selangor

Jawatankuasa Pilihan Khas Sumber Air Selangor telah membuat syor untuk meminda lebih ketat Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 1999, susulan pencemaran sumber bekalan air di kawasan itu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, antara cadangan yang akan dikemukakan adalah dengan menaikkan kompaun denda minimum sebanyak RM200,000 sehingga RM1 juta.

Beliau berkata, ini untuk memastikan pesalah mendapat hukuman paling setimpal dan maksimum, selain menjamin tiada lagi kejadian serupa yang berlaku di masa akan datang

“Pesalah juga akan dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun serta denda berjumlah RM10,000 setiap hari kesalahan diteruskan setelah pemberitahuan.

“Selain itu, pesalah juga dikehendaki membayar kos bagi membersihkan pencemaran yang dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, di dalam Enakmen LUAS 1999 Seksyen 79 (4) larangan pencemaran sesuatu sumber air, kesalahan mandatori denda bagi kesalahan yang dilakukan adalah denda maksimum tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tempoh 3 tahun atau kedua-duanya.

Denda selanjutnya pula sebanyak RM5,000 setiap hari kesalahan diteruskan setelah pemberitahuan oleh Lembaga yang menghendaki pematuhan diserahkan.

Namun begitu menurut Fakhrulrazi, semua bentuk hukuman yang sedia ada sebelum ini tidak memadai bagi menghukum pesalah dengan kadar paling maksimum.

Justeru katanya, sebagai ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Sumber Air Selangor, beliau sendiri akan membentangkan usul pindaan Enakmen LUAS 1999 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan datang.