Malaysia Dateline

Penjara Marang muncul penjara pertama peroleh sijil Halal

Penjara Marang muncul penjara pertama di Semenanjung Malaysia yang memperolehi Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Pengarah Penjara Marang, Wan Sani Ab Latiff berkata kejayaan itu hasil kerjasama unit sajian bahagian dapur dan bimbingan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dalam memastikan semua kriteria dipatuhi untuk mendapatkan SPHM.

“Sebelum ini, setiap kali ada lawatan dari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) ke Penjara Marang, kebersihan dapur akan dikritik.

“Kita ambil kritikan itu sebagai cabaran untuk mengubahnya ke arah yang lebih baik dan hasilnya kini kita sudah perolehi SPHM. Malah, kita turut dikategorikan sebagai dapur yang sangat bersih (kategori A) oleh Pejabat Kesihatan Daerah Marang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima SPHM yang disampaikan oleh Timbalan Pesuruhjaya (Hal Ehwal Islam) JHEAT, Mohd Azam Awi di Penjara Marang hari ini.

Ketika ini, terdapat 10 kakitangan penjara yang bertugas di unit sajian bahagian dapur dengan dibantu 88 banduan yang telah memperolehi Sijil Kursus Penyediaan Makanan daripada Pejabat Kesihatan Marang.

Sementara itu, Penolong Penguasa Penjara yang menyelia unit sajian, Suhardi Ali berkata kesemua banduan yang bertugas di bahagian dapur turut mendapatkan suntikan Typhoid sebelum dibenarkan mengendali makanan.

“Mereka juga perlu menjalani beberapa pemeriksaan kesihatan dan pemilihan banduan juga agak ketat misalnya mereka yang dipenjarakan akibat kesalahan keganasan tidak dibenarkan untuk bertugas di bahagian dapur.

“Kami juga mempunyai satu buku rekod khas untuk banduan yang menggunakan peralatan tajam seperti pisau pemotong daging sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.

— BERNAMA