Malaysia Dateline

Penjara pohon pesalah PKP diperintah jalani kerja sosial

Jabatan Penjara Malaysia mencadangkan supaya pesalah-pesalah yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasa, dikenakan hukuman menjalani Perintah Khidmat Masyarakat di bawah Akta Kehadiran Wajib 1954 tanpa menjalani hukuman pemenjaraan.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah Penjara Malaysia Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, cadangan tersebut dibuat kerana selain menambah kesesakan, Jabatan Penjara bimbang pesalah-pesalah tersebut menjadi punca penularan wabak Covid-19 di dalam penjara kerana status kesihatan mereka yang tidak diketahui.

“Rekod Jabatan Penjara menunjukkan sehingga 1 April 2020 seramai 378 orang telah dikenakan hukuman penjara atas kesalahan pelanggaran PKP tersebut,” kata beliau.

Jelas beliau, Jabatan Penjara berpendapat, adalah satu masalah besar jika berlaku penularan wabak Covid-19 di penjara kerana selain penjarakan sosial yang mustahil dapat dilakukan, penjara juga mungkin menjadi tempat penularan wabak Covid-19 yang tidak terkawal dan boleh mengancam nyawa banduan mahupun kakitangan.

Katanya lagi, pesalah dikenakan hukuman menjalani Perintah Khidmat Masyarakat ini pernah dilaksanakan oleh Jabatan Penjara sejak tahun 2010.