Malaysia Dateline

Penjarakan fizikal atau penjarakan sosial?

Ada suatu kekeliruan di sini, manakah istilah betul yang sepatutnya digunakan: penjarakan sosial atau penjarakan fizikal atau penjarakan sosial dimaksudkan sebagai merangkumi penjarakan fizikal.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mula menggunakan frasa “penjarakan fizikal) menggantikan “penjarakan sosial” sebagai cara mengelakkan penyebaran Covid-19 daripada seseorang ke seseorang. Menurut WHO, inilah istilah yang lebih tepat berbanding penjarakan sosial.

Penjarakan fizikal amat diperlukan daripada penjarakan sosial kerana ia seolah-olah membawa makna kita telah memutuskan hubungan sosial daripada komuniti atau masyarakat.

Penularan Covid-19 yang berleluasa, pertamanya dikesan di bandar Wuhan, China pada Disember lepas telah memaksa hampir semua negara di dunia mengenakan PKP atau `lockdown’ termasuk negara kita Malaysia. Kebanyakan negara telah menutup lapangan terbang, mengetat dan membataskan had perjalanan dan pergerakan rakyat mereka.

Oleh itu, kita sebenarnya harus mengamalkan penjarakan fizikal daripada penjarakan sosial. Ketika kita berbaris untuk membayar barangan di kaunter, yang kita lakukan ialah penjarakan fizikal bukannya penjarakan sosial, kita masih boleh bersosial dalam hal ini berkomunikasi, berkenalan, berjenaka dan bersembang isu semasa.

Virus yang tidak dapat dilihat secara kasat mata itu telah membuatkan kita terpisah dengan orang-orang terdekat. Kita tidak dapat memeluk ibu dan ayah, mencium anak saudara, serta bersalaman dengan rakan-rakan dan jiran-jiran kita. Oleh itu, apa yang kita lakukan ialah penjarakan fizikal dan bukannya penjarakan sosial.

Tetapi kita masih beruntung kerana teknologi komunikasi dan digital dalam era yang serba pantas, mudah, dan murah ini telah membolehkan kita menjalinkan hubungan di atas talian atau secara online.

Kita tidak melakukan penjarakan sosial. Malah, istilan penjarakan sosial yang kita gunakan itu menggambarkan seolah-olah kita ini sebagai anti-sosial pula.

Saya terfikir bahawa pemilihan perkataan atau istilah dan konsep penjarakan sosial tidak secocok atau sesuai. Penjarakan fizikal bermakna jarak ruang antara satu meter misalnya.

Ia adalah ruang geografi daripada orang A ke orang B sementara penjarakan sosial adalah ukuran jarak merentasi sempadan sosial. Oleh itu, adalah penting untuk kita bezakan kedua-dua istilah ini.

Kita perlu melakukan penjarakan fizikal demi kesejahteraan setiap daripada dijangkiti tetapi kesejahteraan mental adalah amat penting dan isolasi sosial tidak baik untuk kesejahteraan mental.

Bagi saya dan ramai lagi yang tidak dapat pergi ke pejabat telah bekerja di atas talian menggunakan aplikasi yang bernama Zoom atau Google Meet yang semakin marak digunakan sekarang.

Saya memang seorang yang kuno lambat mengenali aplikasi dan apa yang saya ketahui hanyalah Skype atau live video di media sosial. Tetapi sejak pengumuman PKP dan duduk di rumah, saya mula mengenali aplikasi Zoom Meeting atau Google Meet.

Bahkan, mesyuarat Jabatan Komunikasi tempoh hari, telah menggunakan aplikasi ini.
Maka, istilah Work from Home atau kerja dari rumah di mana kakitangan bermesyuarat, berkomunikasi dan membuat keputusan di depan layar Laptop atau komputer semakin digunakan.

Dengan aplikasi Google Meet misalnya kita dapat melihat wajah rakan sekerja kita, apa lagi dengan Zoom juga kita sudah boleh berjumpa ahli keluarga kita. Cuma melalui Google Meet, tentu kita tidak mahu rakan sekerja melihat muka bangun tidur atau muka comot di rumah, kita akan menghiaskan diri supaya kelihatan comel dan berseri. Bagi golongan wanita, secara berempat atau lebih mereka boleh melakukan kisah membawang secara online.

Oleh itu, tiada penjarakan sosial di sini, yang ada hanyakah penjarakan fizikal. Namun, bagi golongan media baharu, secara lebih luas, ia menglobalisasikan istilah yang pernah digunakan sebelum ini iaitu SoHo iaitu Small Office Home Office.

Antara pasar awam kelolaan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu yang mempunyai tanda garisan penjarakan fizikal.

Dahaga rindu

Ramai juga terutamanya yang menjalankan perniagaan elektronik atau direct selling melalui rangkaian atas talian secara sedar atau tidak telah menggunakan konsep SoHo ini.

Bagi mahasiswa yang berkuliah, mereka boleh sahaja mengamalkan konsep e-learning atau pembelajaran di atas talian yang diguna pakai oleh banyak universiti di negara kita.

Universiti tempat saya berkerja, iaitu Universiti Selangor (Unisel) telah mengamalkan kaedah pembelajaran campuran atau pembelajaran elektronik ini.

Dalam situasi PKP ini, ramai yang giat dan gigih menggunakan media sosial tanpa adanya sentuhan fisik dengan keluarga, orang dikasihi dan rakan-rakan sekerja, jiran-jiran dan sanak saudara. Mereka tidak melakukan penjarakan sosial. Oleh itu, dahaga rindu telah dipenuhi.

Namun, jika direnungi sebelum Covid-19 lagi, ramai kalangan kita telah melakukan penjarakan sosial dan fizikalnya. Kita banyak menghabiskan di relung media sosial daripada ruang bersemuka secara interpersonal.

Ahli keluarga sukar bertemu, banyak komunikasi dilakukan secara virtual daripada fizikal. Pertemuan ahli keluarga hanya riuh semasa makan, lepas itu atau semasa menunggu kedatangan santapan makanan, majoriti diam membisu, sentuhan jari mencatatkan mesej atau menonton visual di telefon bimbit.

Mereka sibuk dengan dunia masing-masing. Mereka asyik merenung gajet, membuat kandungan instastory, pentingkan respon perbualan kumpulan media sosial demi bercerita masalah orang lain, misalnya. Oleh itu, penjarakan sosial sebenarnya sudah terjadi sebelum Covid-19 tersebar.

Bagi saya, penggunaan media sosial merupakan perkara yang paling utama saat ini. Akan tetapi, saya yakin terdapat kalangan pembaca yang sudah mulai merasakan gelisah kerana tidak bersosialisasi secara fizikal.

Mereka memerlukan kontak fizikal secara langsung. Atau dengan kata lain keperluan untuk bertemu dengan ahli keluarga, saudara mara, rakan atau orang lainnya demi memenuhi syarat sebagai makhluk sosial.

Mereka sudah bertanyakan bila semua ini akan berakhir, sudah tidak sabar hendak ke pejabat, ke rumah jiran, ke surau atau masjid, solat berjemaah. Ironi Covid-19 akan membawa kerinduan akrab pertemuan fizikal dan sosial secara realiti.

Tetapi budaya penjarakan fizikal akan dikekalkan buat sementara waktu (jika PKP telah tamat) contohnya pada majlis sambutan hari Raya Aidifitri, ramai yang takut akan sentuhan bersalaman dan berpelukan.

Mereka masih trauma dengan penularan Covid-19. Adakah budaya kunjung-mengunjung akan terbantut buat sementara?

Apakah para pembaca sudah mulai gelisah dengan situasi ini? Dalam situasi PKP dan Covid-19, kita memerlukan penjarakan fizikal yang ketara (ruang antara 1 meter) tetapi pada masa yang sama kita akan kekal mendekati dalam ruang di medan sosial.

Penjarakan sosial seolah-olah merasakan kita berhenti daripada berkomunikasi antara satu sama lain, sebaliknya kita harus mengukuh dan memanjangkan komunikasi sosial serapat yang kita boleh sementara kita melakukan penjarakan fizikal antara satu sama lain.

Saya harap kerajaan akan menukar penggunaan istilah penjarakan sosial kepada penjarakan fizikal supaya lebih cocok dan sesuai.

 

*Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran di Universiti Selangor (Unisel).