Malaysia Dateline

Penjawat awam Melaka diingatkan kekal bertenang, laksana tugas, kata Adly

Para penjawat awam di negeri ini diingatkan supaya mengekalkan kualiti kerja serta kekal bertenang melaksanakan tugas mengikut undang-undang dan dasar kerajaan yang telah dikuatkuasakan.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata sebagai penjawat awam, mereka perlu komited menjunjung dan mengangkat taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Saya suka memetik saranan daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman yang menyebut, pendirian berkecuali perlulah sentiasa dipraktikkan dan dikekalkan oleh seluruh penjawat awam khususnya di negeri Melaka.

“Penjawat awam diseru terus fokus kepada kepedulian rakyat selain semua sistem penyampaian kerajaan perlulah berjalan dengan lancar demi memastikan rakyat di negeri ini mendapat perkhidmatan berkualiti seperti yang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menerusi rakaman video Amanat Mac 2020 kepada penjawat awam kerajaan negeri disiarkan dalam laman Facebooknya hari ini yang menurutnya mungkin menjadi amanat terakhirnya kepada seluruh kakitangan awam di Melaka sebagai Ketua Menteri.

“Terima kasih atas kerjasama dan sokongan yang telah diberikan selama ini. Terus berikan khidmat yang terbaik untuk negeri dan negara,” katanya.

Pada Sabtu lepas (29 Feb), Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dilaporkan berkata Bersatu Melaka akan mengikut aturan situasi pusat parti itu dan akan berbincang dengan Barisan Nasional Melaka dalam memperoleh 15 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri bagi membentuk Kerajaan Negeri Melaka.– BERNAMA