Malaysia Dateline

Penjawat awam, pesara terima Bantuan Khas 17 Januari ini

Kerajaan Perpaduan meneruskan bantuan kepada penjawat awam dan pesara perkhidmatan awam.

Menurut pemakluman daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Bantuan Khas Kewangan (BKK) Tahun 2023 akan dibayar pada 17 Januari tahun hadapan.

JPA menerusi surat yang dikeluarkan melalui satu hantaran di Facebook rasminya, menyatakan bantuan Khas sebanyak RM700 akan dibayar kepada pegawai perkhidmatan awam dari Gred 56 dan ke bawah.

Pesara yang sedang menerima pencen dan penerima pencen terbitan akan menerima bantuan khas sebanyak RM350.

Sementara itu, bantuan khas sebanyak RM350 dibayar kepada pesara Perkhidmatan Awam Skim KWSP serta veteran berpencen dan tidak berpencen.

Antara penerima BKK Tahun 2023 ini adalah pegawai lantikan MySTEP yang berkhidmat sekurang-kurang enam bulan dan guru interim.

Selain itu, pemandu yang dilantik sendiri oleh pegawai Gred Jawatan Utama B dan Gred Khas A yang layak serta pemandu lantikan Anggota Pentadbiran dan Hakim dan Pesuruhjaya Kehakiman juga menerima BKK tahun hadapan.

BACA JUGA: Janji temu di fasiliti KKM guna apps MySejahtera