Malaysia Dateline

Penjawat awam Selangor terima bantuan khas sebulan gaji sempena Aidilfitri

Seramai 19,244 penjawat awam Selangor akan menikmati bantuan khas kewangan sebanyak satu bulan gaji sempena perayaan Aidilfitri, bulan hadapan.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata selain itu, seramai 739 kakitangan persekutuan yang berkhidmat di Selangor akan turut menerima bantuan khas itu berjumlah RM1,000 seorang.

“Bantuan khas kewangan ini kita panggil Insentif Mahabbah Selangor yang mana peruntukan bantuan ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM33.84 juta.

“Bantuan khas kewangan akan dibayar serentak pada 7 Jun nanti,” katanya ketika berucap pada Majlis Rapat Ramadan Penjawat Awam bersama Menteri Besar Selangor di sini, hari ini.

Menurutnya, bantuan khas kewangan satu bulan gaji juga akan diberikan kepada kakitangan beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Selangor serta organisasi strategik negeri, membabitkan seramai 1,521 orang.

Antara agensi itu ialah Universiti Selangor (Unisel), Yayasan Hijrah Selangor, Tourism Selangor, Invest Selangor dan Yayasan Warisan Anak Selangor dengan melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM5.621 juta.

Amirudin berkata menerusi Insentif Mahabbah Ramadan, kerajaan negeri turut mengagihkan bantuan khas kewangan kepada 2,053 surau dan 390 masjid di seluruh negeri, membabitkan peruntukan RM4.17 juta.

“Petugas kariah masjid terdiri daripada nazir, imam satu dan imam dua, bilal satu dan dua serta siak satu dan dua akan menerima setiap seorang RM400.

“Petugas surau pula yang terdiri daripada pengerusi surau, imam satu dan imam dua, seorang bilal dan seorang siak surau akan menerima setiap seorang RM300,” katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata kerajaan negeri turut memuktamadkan untuk memberikan penjawat awam Selangor, bantuan khas kewangan pada akhir tahun.

Katanya, bantuan khas sebanyak dua bulan gaji itu akan diberikan berdasarkan pencapaian prestasi ketua jabatan negeri.- BERNAMA