Malaysia Dateline

Penjawat awam berswafoto bersama Perdana Menteri dalam satu majlis di Putrajaya

Penjawat awam terima RM500 duit raya, pesara RM250 sambut Aidilfitri

Sejumlah 1.6 juta penjawat awam bakal menerima bantuan khas kewangan sebanyak RM500 sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri 2017.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini menyebut, bantuan khas itu juga akan turut dinikmati hampir 775,000 pesara kerajaan sebagai menghargai jasa perkhidmatan mereka dengan jumlah bayaran sebanyak RM250.

“Pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat sebelum 9 Jun,” kenyataan media itu dipetik.

Bantuan khas kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan itu membabitkan anggaran peruntukan kewangan RM1 bilion.

“Kerajaan berharap dengan pemberian bantuan khas ini dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara bagi persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri 2017,” ujar kenyataan media itu.

Kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini mengumumkan pemberiaan bonus 2.5 bulan gaji kepada seluruh kakitangan kerajaan negeri.

Pengumuman dibuat Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali dalam satu majlis perhimpunan guru-guru agama seluruh Selangor di Shah Alam.