Malaysia Dateline

Penjelasan Azam Baki undang kekeliruan, kertas siasatan wajar dibuka, kata peguam

Selagi kertas siasatan tidak dibuka bagi menyiasat dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, maka penjelasan yang diberi pihaknya akan menimbulkan lebih banyak kekeliruan pada rakyat.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, penjelasan Azam tentang dakwaan pemilikan saham sama sekali tidak meleraikan kemusykilan, sebaliknya menambahkan lagi persoalan.

Azam Baki telah memberitahu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bahawa akaun dagangan miliknya digunakan oleh adiknya untuk memperoleh saham dalam dua syarikat pada 2015.

Bagi Haniff, banyak perkara yang perlu disiasat untuk menjawab persoalan berbangkit antaranya mengapa Nasir Baki perlu menggunakan akaun abangnya apabila dia ketika itu memiliki lebih 3.6 juta unit saham pada tempoh yang sama.

“Kenapakah saham itu dipegang oleh adiknya atas nama Azam Baki? Apakah sebabnya. Itu perlu dijelaskan. Apakah wujud kekangan undang-undang pada masa itu?

“Anehnya terdapat satu lagi dakwaan perlu disiasat. Bahawa pada tempoh yang sama selain daripada Nasir Baki memegang saham atas akaun Azam Baki, terdapat 3.6 juta unit saham yang dipegang oleh Nasir Baki atas namanya sendiri.

“Jadi kalau dia dah pegang saham-saham tersebut di atas akaunnya sendiri, apa keperluan perlu dipegang atas nama Azam Baki?,” soalnya.

Beliau berkata demikian dalam bicara semasa membincangkan tentang ‘Pendapat Lembaga Penasihat SPRM dan Langkah Seterusnya’ yang disiarkan di Facebook Jom Channel malam tadi.

Selain itu Haniff berkata, Azam perlu menjelaskan sama ada beliau menyatakan secara lisan, bertulis, atau melalui borang kepada ketuanya tentang penggunaan akaunnya untuk memperoleh saham waktu itu.

Haniff mencadangkan agar satu jawatankuasa siasatan khas ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan Azam memperoleh berjuta juta unit saham dalam dua buah syarikat pada 2015 dan 2016.

Beliau berkata, adalah tidak ‘molek’ untuk agensi SPRM sendiri menyiasat ketua mereka atas kebimbangan mungkin berlaku konflik berkepentingan dan secara salah wujudnya campur tangan dalam siasatan.

“Walaupun Azam Baki berpendapat penjelasannya akan menyelesaikan kerisauan dan kepelikan rakyat berkaitan dakwaan pemilikan saham, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Apa yang diungkapkan Azam Baki sebenarnya menimbulkan pelbagai persoalan lanjut,” katanya.