Malaysia Dateline

Penjelasan pemuda ini tentang ubat kalsium karbonat kawal fosforus dalam badan, dikongsi pakar buah pinggang Dr. Rafidah

Penjelasan seorang pemuda ini berhubung pengambilan ubat kalsium karbonat boleh mengawal fosforus dalam badan turut dikongsi pakar buah pinggang Dr Rafidah Abdullah.

Menurut Dr Rafidah perkongsian pemuda itu terbaik dan mengucapkan terima kasih di atas penjelasan yang ianya perlu diketahui oleh semua pesakit buah pinggang.

Melalui facebook Marcco Lazaro beliau memberi penjelasan panjang lebar berhubung ubat kalsium karbonat itu daripada definisi, fungsi kepada badan serta kesan ubat berkenaan jika di makan bersama zat besi.

Ini penjelasan beliau yang sangat mudah difahami;

Tadi tengok story Dr. Rafidah Abdullah berkenaan makan ubat kalsium karbonat bukan sahaja bersama nasi, malah makananan lain. Kenapa ya?

Fosforus merupakan sejenis mineral yang didapati di dalam badan kita dan sesetengah makanan. Buah pinggang yang sihat boleh menyingkirkan kandungan fosforus yang berlebihan.

Tetapi apabila buah pinggang gagal berfungsi, kandungan fosforus akan mula meningkat. Hiperfosforustemia bermaksud tahap fosforus dalam darah adalah sangat tinggi.

Tahap fosforus yang tinggi di dalam darah boleh menyebabkan

  • Masalah tulang dan jantung penyakit tulang (rapuh).
  • Tisu badan menjadi keras (jantung, arteri, sendi, kulit atau peparu).
  • Kulit gatal.

Kawal Tahap Fosforus!

Salah satu cara mengawal tahap fosforus adalah dengan memakan ubat pengikat fosforus seperti kalsium karbonat semasa makan.

Bagaimana ubat pengikat fosforus berfungsi?

Ubat pengikat fosforus berfungsi sebagai span. Ia menyerap fosforus daripada makanan di dalam perut dan ia disingkirkan melalui najis.

ELAK makan ubat pengikat bersama pil zat besi!

Ini kerana kalsium dalam ubat pengikat akan bergabung dengan besi dan zat besi tidak diserap oleh badan.

Selain makan pengikat fosforus, dialisis juga dapat menyingkirkan sebahagian kandungan fosforus daripada darah.

Diet

ELAK makanan tinggi fosforus:

1.Kuning telur
2.Udang kering
3.Susu & hasil tenusu (keju)
4.Kaki ayam/tulang
5.Susu pekat manis
6.Dhal, kacang merah, kacang hijau, kacang kuda dll
7.Kerang, tiram, lala, ketam
8.Ikan bilis
9.Cendawan
10.Oat, roti gandum or biskut tinggi serat
11.Kola & minuman koko
12.Coklat & kek coklat

Waspada terhadap kandungan fosforus dalam diet anda. Apabila anda baca label makanan, kenal pasti fosforus dan elak makan makanan ini.

Bahan pengawet: Asid Fosforus, Pirofosforus, Polifosforus, Dicalcium fosforus, Sodium fosforus dan lain-lain.

Berhati-hati kerana pengambilan protein yang berlebihan akan meningkatkan tahap urea dan fosforus dalam darah.

Selalu tanya pesakit, makan ke tak ubat kalsium karbonat jika mereka tolak untuk ambil bekalan ubat baru semasa dispens ubat.

Baca juga: Bertembung dengan Zafrul, AMANAH mahu Dr Dzulkefly pertahankan kerusi Kuala Selangor