Penjelasan tarik diri dari Statut Rom akan dibuat dalam masa terdekat

Penjelasan tarik diri dari Statut Rom akan dibuat dalam masa terdekat

Kerajaan akan menjelaskan kepada rakyat dan Majlis Raja-Raja tentang penarikan daripada Statut Rom yang diumumkan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamed.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Marzuki Yahya berkata, isu berkenaan yang menimbulkan kekeliruan dari segi politik dan dalam kalangan masyarakat itu akan dijelaskan dalam masa terdekat.

“Kita akan jelaskan dan akan berbincang dengan menteri-menteri kerana ini urusan kabinet.

“Apabila keputusan tentang penarikan balik Statut Rom dilakukan, kita pasti akan beri penerangan secara jelas pada rakyat.

“Penjelasan tersebut akan menerangkan apa sebenarnya yang telah terjadi. Kita akan berikan penerangan selepas ini dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Buku Kumpulan Puisi ‘Mahathir Kami Bersamamu’.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad pada Rabu mengumumkan Malaysia akan menarik diri daripada ICC berikutan kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata keputusan pengumuman penarikan Malaysia keluar daripada menyertai Statut Rom ini berpunca daripada kekeliruan yang dicipta oleh individu tertentu “yang hendak memukul orang sesuka hati dan melakukan perkara seperti itu” .

Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada jika pihak kerajaan sedang dalam usaha untuk menjelaskan tindakan sebenar penarikan diri dalam Statut Rom atau berpuas hati terhadap laporan penarikan di media tanpa penjelasan.

Ditanya tentang sama ada makluman rasmi sudah dihantar pada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), beliau berkata ia belum dipastikan.

“Saya tidak pasti sama ada sudah hantar (makluman rasmi) ke ICC atau belum,” katanya.

Sebelum ini Mahathir berkata Malaysia, yang menandatangani Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC pada 4 Mac, dan menyerahkan surat cara berkenaan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada hari yang sama, boleh menarik balik surat cara itu sebelum Jun tahun ini.

“Boleh buat dan ambil tindakan sebelum Jun,” jelas Mahathir mengenai tindakan menarik diri itu.