Malaysia Dateline

Penjimatan kos projek RTS: Harga tiket munasabah wajar dinikmati pengguna

Penjimatan kos projek Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) sebanyak 36 peratus wajar dinikmati pengguna dengan meletakkan harga tiket yang munasabah tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan.

Akmal Nasir

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir berkata, penjimatan kos daripada RM4.93 billion ke RM3.16 billion adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk memastikan perbelanjaan yang berhemah dalam projek-projek bernilai tinggi.

“Umum mengetahui mengenai masalah kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Sultan Iskandar (CIQ) dan Tambak Johor. Saya juga telah sering kali membangkitkan perkara ini di Dewan Rakyat sebelum ini.

“Oleh itu, saya yakin dengan iltizam kerajaan menangani masalah kesesakan tersebut dan memudahkan urusan keluar masuk khususnya buat rakyat Malaysia ke Singapura.

“Sehubungan itu, saya menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri YAB Tun Dr Mahathir Mohamad semalam berkaitan keputusan kerajaan untuk meneruskan projek tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akmal yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia turut berharap pembinaan projek RTS itu dapat berjalan lancar dengan pengurusan tatakelola yang baik serta dapat dipantau secara telus dan terbuka.

Malaysia sebelum ini terpaksa membayar RM2 juta kepada Singapura sebagai kos penangguhan projek RTS iaitu jumlah yang sudah dibelanjakan republik itu.

Pada Mei lalu, Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian tambahan bagi menangguhkan sekali lagi projek berkenaan sehingga 31 September bagi membolehkan kedua-dua negara meneliti semula pendekatan dan struktur projek RTS supaya ia lebih kos efektif.

Bulan lalu, Kementerian Pengangkutan mengumumkan penangguhan projek RTS dilanjutkan sehingga semalam atas persetujuan Singapura.

Projek RTS bakal menghubungkan Bukit Chagar, Johor ke stesen Woodlands North, Singapura dengan sasaran kapasiti mencecah 10,000 penumpang sejam, namun jika projek itu dibatalkan, Malaysia perlu membayar pampasan berjumlah RM200 juta kepada Singapura.