Malaysia Dateline

Penjual burger dikompaun RM50,000: Kanun AMANAH Kelantan tawarkan khidmat guaman percuma

Biro Undang-undang (Kanun) AMANAH Kelantan mendesak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membatalkan kompaun RM50,000 terhadap penjual burger, Wan Mohd Faisal Wan Kadir di Kota Bharu kelmarin.

Dalam masa sama, Kanun juga bersedia untuk menawarkan khidmat guaman secara percuma kepada penjual terbabit sekiranya diperlukan.

Jelas Kanun AMANAH negeri itu, Wan Mohd Faisal sedang memasak di halaman rumah mertua beliau dan bukannya di kedai atau restoran.

Semasa polis berada di lokasi peniaga berkenaan, tiada seorang pun pelanggan di situ selain beliau dan ahli keluarga sahaja.

“Wan Mohd Faisal juga memberitahu kami bahawa beliau merayu kepada polis tersebut supaya tidak mengeluarkan kompaun kerana beliau sedang menyediakan burger untuk dihantar ke rumah rakan rakan yang telah membuat tempahan awal,” kata Kanun menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, Kanun AMANAH Kelantan diwakili peguam Alawi Mohd Rashid dan Norizan Ab Rahman menemui Wan Mohd Faisal malam tadi (gambar atas).

Turut hadir beberapa saksi yang berada di tempat kejadian yang berlaku di Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu jam 11.10 malam kelmarin.

Mengulas lanjut, Kanun AMANAH negeri tidak mempertikaikan kepentingan dan tanggungjawab untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Walau bagaimanapun di dalam kes ini, Kanun berpendapat sebarang tindakan haruslah dilaksanakan mengikut budi bicara,” katanya.