Penjual daging salai stabil, selamat jalani pembedahan pasang implan tempurung kepala

Oleh MALAYSIADATELINE

Lelaki yang sebelum ini tular kerana menjual daging salai untuk mengumpul dana menampung kos pemasangan implan tempurung kepala dilaporkan selamat menjalani pembedahan tersebut pada tengah hari semalam.

Pembedahan dijalankan ke atas Muhammad Sufi Abdul Aziz itu bermula pada pukul 8.30 pagi dan selesai sekitar jam 1 tengah hari di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah.

Ibu kepada Muhammad Sufi iaitu Noraini Ishak berkata, anaknya yang berusia 36 tahun itu kini berada di dalam keadaan stabil dan masih memerlukan penjagaan rapi di hospital, lapor Harian Metro.

Doktor bagaimanapun menasihatkan supaya Muhammad Sufi tidak diganggu buat masa ini termasuk untuk ditemu bual dan sebagainya berikutan khuatir boleh menganggu proses penyembuhannya.

“Kalau saluran darah di kepalanya nampak baik, mungkin beberapa hari lagi dia akan dibenarkan keluar hospital. Tetapi sekarang ini memang dia perlu dijaga. Dia perlu tenang dan tidak boleh serabut (banyak berfikir).

“Doktor nasihatkan dia tidak diganggu ketika ini, tak boleh tanya dia macam-macam atau temu ramah dia lagi. Taku ganggu proses penyembuhannya,” kata ibu berusia 71 tahun itu memetik laporan Harian Metro.

Dalam pada itu, Noraini mengakui keadaan anaknya kini agak sedikit terganggu selepas kisahnya tular di media sosial sehingga menyebabkan lelaki berkenaan menjadi gelisah dan bimbang.

Noraini bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat kerana sudi menghulurkan bantuan termasuk orang ramai yang membuat tempahan untuk membeli daging salai.

“Sekarang ini saya jaga dia di wad. Tetapi saya ada jugalah mengupah seorang penjaga lain untuk dia. Selepas sedar, dia cuba nak tarik tiub. Jadi sekarang ini doktor nasihatkan agar dia banyak berehat.

“Kalau diikutkan, saya nak simpan dulu telefon dia sebab tak mahu dia berhubung dengan sesiapa. Tetapi saya rasa kasihan, kita doakan dia cepat sembuh,” pintanya kepada orang ramai.

Terdahulu, kisah Muhammad Sufi mula mencuri tumpuan ramai selepas lelaki itu memuat naik hantaran di platform TikTok mengenai penjualan daging salai bagi mengumpul dana pembedahan yang kelima untuk memasang implan kepala.

Perkara itu turut meraih perhatian dari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kemudian menyampaikan sumbangan berjumlah RM15,000 kepada duda seorang anak terbabit.

Muhammad Sufi sebelum ini pernah koma selama lebih satu bulan itu mengalami kehilangan separuh tempurung kepala setelah terbabit di dalam kemalangan jalan raya di Tanah Merah, Pendang, Kedah pada dua tahun lalu.

Difahamkan, pembedahan untuk memasang implan tempurung kepala kepada Muhammad Sufi pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 9 Mac depan namun prosedur itu dipercepatkan. 

Muhammad Sufi yang pernah bekerja sebagai kakitangan fisioterapi di HSB itu kemudian memaklumkan terpaksa menghentikan sementara perniagaannya kerana perlu memberi perhatian kepada urusan perubatan.

Baca juga: Lelaki pulangkan isteri kepada mak mentua gara-gara malas kemas rumah dan kuat ‘shopping online’