Malaysia Dateline

Penjual kuih positif COVID-19 di Kuching

Seorang penjual kuih warganegara tempatan yang bekerja sebagai penjual kuih merupakan antara dua kes positif COVID-19 yang direkodkan di Sarawak semalam.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, satu lagi kes ialah melibatkan wanita warganegara China sekali gus menjadikan keseluruhan kes di negeri ini sebanyak 772.

“Kedua-dua kes baharu ini merupakan jangkitan tempatan yang mana kes ke-771 melibatkan seorang lelaki warganegara tempatan yang bekerja sebagai penjual kuih di Kuching telah menjalani saringan di sebuah hospital swasta pada 22 Oktober kerana mengalami kesukaran untuk tidur.

“Keputusan ujian rT-PCR COVID-19 kes ini didapati positif pada hari yang sama.

“Kes ini tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara atau melawat kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19,” ujar JPBN dalam satu kenyataan.

JPBN menegaskan, kes berkenaan tidak mempunyai kontak kepada kes positif COVID-19 dan dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.

Sementara kes ke-772 pula, kata JPBN telah melibatkan seorang wanita warganegara China yang menjalani saringan COVID-19 di sebuah hospital swasta di Kuching kerana hendak pulang ke negara asal.

“Kes telah menjalani ujian rT-PCR COVID-19 pada 22 Oktober lepas dan keputusan ujian tmendapati kes positif COVID-19 pada hari sama. Malah, kes ini tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara atau melawat kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19 dan tidak mempunyai kontak kepada kes positif.

“Kes dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut namun pesakit ini tidak mengalami sebarang tanda dan gelaja.

“Dan kedua-dua kes ini masih dalam siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar jangkitan dan aktiviti pengesanan kontak rapat dan siasatan lanjut sedang giat dijalankan.

“Setakat ini, punca jangkitan kes ini diketahui dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan berdasarkan sejarah awal pergerakan kes,” tambah JPBN.

JPBN turut memaklumkan kawasan Lubok Antu telah bertukar status daripada kuning kepada hijau kerana tiada kes dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

“Bagi Daerah Kuching dan Bintulu kekal berstatus Kuning dengan jumlah keseluruhan seramai 17 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lalu iaitu 13 kes di Daerah Kuching, empat orang di Daerah Bintulu,” kata JPBN.