Penjual mi ditahan buat parodi Salt Bae, sindir menteri makan stik bersalut emas RM7,759

Oleh NASUHA RAHMAN

Seorang penjual mi ditahan kerana membuat parodi aksi chef selebriti Turkiye Salt Bae di mana ia dilihat seperti menyindir menteri yang menikmati stik bersalut emas 24 karat berharga AS$1,725 (RM7,759).

Penjual mi Bui Tuan Lam, 38, berkongsi rakaman video tersebut pada tahun lalu dan kebanyakan pengguna media sosial melihat ia sebagai satu sindiran dan beliau ditahan kerana propaganda antinegara.

Harga menu itu bagaimanapun mencetuskan kritikan banyak pihak berikutan penduduk di Hanoi Vietnam kebanyakannya hidup dalam kemiskinan.

Selain itu, pengguna media sosial juga mempertikaikan harga stik tersebut yang didakwa jauh lebih mahal berbanding gaji bulanan yang diterima menteri antara AS$600 (RM2,698) dan AS$800 (RM3,598).

Parodi ‘Green Onion Bae’ itu dimuat naik beberapa hari selepas Menteri Keselamatan Awam, Jeneral To Lam menjamu selera hidangan mewah tersebut di sebuah restoran di London.

Isteri Tuan Lam mengesahkan suaminya diberkas pihak berkuasa pada minggu lalu malah pihak berkuasa turut kembali semula untuk menggeledah rumah mereka.

“Kami telah bersedia dengan hukuman yang bakal dikenakan sejak Tuan Lam dipanggil polis pada November tahun lalu,” kata isterinya.

Difahamkan, Tuan Lam ditahan di bawah Artikel 117, satu klausa yang menetapkan tindakan mengeluarkan atau menyebarkan maklumat yang menentang kerajaan sebagai perbuatan jenayah.

Menurut polis, mereka telah berulang kali memberi amaran kepada Tuan Lam supaya tidak menyiarkan kandungan yang menghina kehormatan dan reputasi pemimpin, dipetik Sinar Harian.

Baca juga: Misteri stesen minyak Caltex, netizen dedah walau 6 tahun dah tutup tapi ramai singgah isi minyak

Baca juga: Helikopter terputus hubungan selepas 39 minit terbang