Malaysia Dateline

Penjualan daging lembu murah, semarakkan semangat Aidilfitri

 

“Harga daging lembu yang saya beli hari ini memang sangat berpatutan dan ianya segar,” demikian kata Mohd Faisal, salah seorang pembeli yang ditemui pada Program Mantai Perdana Shah Alam Aidilfitri 2019 hari ini.

Mohd Faisal Shaibon, 30, berkata kedatangannya ke Dataran Kemerdekaan, Shah Alam ternyata berbaloi kerana daging yang dijual di situ memang berkualiti dan mesti dibeli.

Mohd Faisal Shaibon

“Daging yang dijual dengan harga RM29.50 sekilogram ini memang segar. Masa nak sampai giliran saya ambil daging di kaunter, dah mula bau daging segar ini.

“Terima kasih kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari kerana mengambil inisiatif ini untuk memastikan warga Selangor dapat meraikan Syawal dengan daging yang murah,” katanya.

Seorang lagi pembeli, Fauziah Abdul Hadi, 59, pula berharap, program seperti itu akan terus diadakan pada masa akan datang.

“Walaupun kena beratur untuk membeli, saya lihat program ini memang bagus kerana harga daging yang dijual, memang menarik perhatian kami untuk membeli di sini,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline.

Program Mantai Perdana Shah Alam Aidilfitri 2019 itu diilhamkan oleh Amirudin Shari yang juga Penaung Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Selangor.

Jualan amal berkenaan dianjurkan Kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan juga PEMADAM Selangor, bertujuan memastikan warga Selangor dapat menikmati Aidilfitri dengan harga daging yang murah dan berpatutan.

Mudirah Muhammad Nor

Sementara itu, Bendahari PEMADAM Selangor, Mudirah Muhammad Nor, berkata sebagai wakil program yang dipilih, pihaknya menyediakan sebanyak 7,000 kg daging lembu segar untuk dijual kepada orang ramai.

Beliau memberitahu, daging lembu berkenaan diimport dari Australia dan pihaknya menyeru kepada orang ramai untuk datang membeli dengan harga yang ternyata berpatutan.

“Saya ingin mengajak orang ramai yang tidak sempat datang pada waktu siang, boleh lah datang membeli pada sebelah malam.

“Kami beroperasi bermula 12 tengah hari tadi sehingga 12 tengah hari esok iaitu selama 24 jam. 3 atau 4 pagi pun boleh datang lagi,” katanya.

Sukarelawan sedang memotong dan menimbang daging lembu