Malaysia Dateline

Penjualan harta curi beri kesan kepada pemilik, kata Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan agar kerajaan menarik kembali persetujuan untuk menerima USD2.5 bilion yang ditawarkan oleh bank pelaburan Global, Goldman Sachs berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Perdana Menteri itu berkata, jumlah yang dibayar kepada kerajaan adalah tidak berpatutan dibandingkan dengan jumlah hutang Malaysia pada masa ini.

“Jumlah keseluruhan yang perlu dibayar adalah USD9.6 bilion. Apa yang dipersetujui Goldman adalah untuk membayar sebanyak USD2.5 bilion tunai.

“Sebanyak USD1.4 bilion akan didasarkan pada hasil aset sekarang, dengan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika.

“Penjualan harta curi tidak memberi kesan kepada pencuri, tetapi kepada pemiliknya.
Pemilik harta tersebut perlu membayar pinjaman yang diambil termasuk faedahnya,” tegasnya dalam satu catatan blog terbaharunya hari ini.

Minggu lalu, kerajaan dan Goldman mencapai satu penyelesaian yang bakal menyaksikan sejumlah AS$3.9 bilion dikembalikan kepada Malaysia.

Tengku Zafrul pada 25 Julai lalu berkata, Goldman akan membayar AS$2.5 bilion secara tunai dan jaminan untuk pengembalian penuh sekurang-kurangnya AS$1.4 bilion dari segi aset yang berkait dengan hasil yang diseleweng.

Justeru, Mahathir berkata, Goldman yang membayar balik USD2.5 bilion, sebenarnya adalah jauh lebih rendah daripada jumlah yang sepatutnya dibayar.

“Tawaran awal sebanyak USD1.75 bilion adalah tidak masuk akal. Ianya ditolak untuk mendukung penyelesaian di Mahkamah. Harus diingat bahawa wang itu dipinjam oleh 1MDB.

“Sekarang Menteri Kewangan perlu membayar kepada pemberi pinjaman. Setelah pembayaran diterima kerajaan, ia harus membayar USD4.85 bilion. Ini akan menjadi caj pada dasarnya kepada pembayar cukai,” kata Ahli Parlimen Langkawi itu lagi.