Malaysia Dateline

Penjualan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang belum dimuktamadkan

Selepas menerima tawaran daripada sebuah firma Singapura, Hotel Royal Limited, syarikat milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Bhd (BHB) masih belum memuktamadkan untuk menjual aset strategiknya, Hotel Royale Chulan Bukit Bintang berharga RM197 juta.

Pejabat Menteri Pertahanan dalam satu kenyataan hari ini, menjelaskan  penilaian teliti masih dijalankan, memandangkan lokasi hotel berkenaan berada di kedudukan strategik, di salah satu kawasan pelancongan di bandar Kuala Lumpur.

Kenyataan itu menyebut, tawaran terbaik daripada pembeli yang berminat sedang dalam pertimbangan, dan keutamaan akan diberikan kepada syarikat tempatan.

Pada 19 Februari lalu BHB dalam satu kenyataan dipetik berkata bersedia untuk menjual Hotel Royale Chulan Bukit Bintang pada harga RM197 juta selepas ia menerima tawaran daripada Hotel Royal Limited, sebuah firma Singapura.

Menurut jurucakap BHB, subsidiari milik penuh, Boustead Hotels & Resorts Sdn. Bhd. telah menerima tawaran itu.

Katanya, Royale Chulan Bukit Bintang menawarkan prospek yang baik, memandangkan lokasinya yang strategik di satu daripada kawasan pelancongan utama dan zon perhotelan di pusat bandar Kuala Lumpur.