Malaysia Dateline

Penjualan saham Bousted membingungkan, kata Patriot

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menyifatkan penjualan saham Boustead Heavy Industries Bhd (BHIC) oleh Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB), sebagai keputusan membingungkan.

Presidennya Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, penjualan berkenaan menimbulkan tanda tanya jika ada campur tangan pihak tertentu untuk mengambil alih BHIC.

Menurutnya, sebarang penjualan yang dibuat pada harga yang sangat rendah ketika ini akan mengakibatkan kerugian langsung kepada UJSB dan pembayar cukai awam.

“Patriot sebelum ini memberi amaran agar tidak menjual saham BHIC di pasaran yang tertekan. Urusharta telah memperoleh 18,636,300 saham BHIC pada harga RM2.50 sesaham ketika menyelamatkan Tabung Haji (TH).

“Ini jauh lebih tinggi di atas harga pasaran RM1.30 pada masa itu. Tidak ada alasan yang baik untuk menjual saham BHIC sekarang; setelah semua sukuk yang dikeluarkan pada tahun 2018 mempunyai tempoh 10 tahun,” katanya dalam satu kenyataan semalam

Terdahulu, UJSB mengumumkan kerugian bersih sebanyak RM 9.95 bilion untuk tahun kewangannya yang berakhir 14 Disember 2018 sehingga 31 Disember 2019.

Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah, menjelaskan UJSB hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM234 juta sepanjang tempoh itu berdasarkan hasil dividen dan sewaan aset milik syarikat terbabit.

Katanya, jumlah pendapatan kecil itu tidak dapat menampung kerugian operasi yang disumbangkan kerugian nilai saksama ke atas instrumen ekuiti sebanyak RM7.75 bilion dan kerugian rosot nilai berjumlah RM1.177 bilion

Sementara itu Patriot menegaskan, UJSB tidak harus terburu-buru dalam menjual saham BHIC.