Penoreh dan keluarga hidup daif di pondok buruk tanpa air dan elektrik

Ayob (dua dari kanan) menziarahi Thani dan keluarga di pondok usang yang didiami keluarga tersebut.

Segala kemajuan dan kemegahan negeri Perak tidak memberi apa-apa erti kepada Thani Eram bersama isteri serta anaknya yang beusia tiga tahun yang tinggal di sebuah pondok di Kampung Tasek, Pengkalan Hulu, Grik, Perak.

Thani menampung hidup sebagai penoreh getah dengan pendapatan antara RM10 hingga RM15 sehari.

Kemiskinan yang dialami oleh beliau turut dialami penduduk yang bergantung hidup dengan hasil getah. Harga getah sekerap yang rendah dan tidak menentu menjadikan hidup mereka umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Saya terpaksa mencari batang pokok getah untuk dijadikan lantai dan juga dinding rumah.

“Manakala bahagian atasnya menggunakan atap rumbia sebagai dinding. Lebih menyedihkan rumah sekangkang kera yang didiami ini tidak mempunyai bilik, kemudahan bekalan air dan juga elektrik,” jelas Thani ketika ditemui.

Menurut beliau lagi, dengan hanya pendapatan kurang dari RM15 sehari, beliau tidak mampu mendapatkan bekalan air dan elektrik.

“Anak saya kini berusia tiga tahun dan akan membesar. Kami juga ingin hidup selesa seperti orang lain,” ujarnya sayu.

Bahagian dapur rumah yang didiami Thani bersama isteri dan anaknya.

Sementara itu pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Grik, Ayob Abd Rahman yang turun padang ke kediaman Thani turut terkejut melihat pondok yang didiami keluarga Thani.

Ayob menyarankan wakil rakyat kawasan itu agar turun padang melihat sendiri masalah kemudahan asas yang dihadapi penduduk.

Pihaknya juga akan berusaha membantu Thani mendapatkan keperluan asas.

CATEGORIES
TAGS