Penoreh getah mahu kerajaan tetapkan harga lantai RM4

Penoreh getah mahu kerajaan tetapkan harga lantai RM4

Masalah yang dihadapi golongan penduduk yang bekerja sebagai penoreh getah di negara ini boleh diselesaikan sekiranya kerajaan menetapkang harga lantai sekurang-kurangnya RM4.

Seorang penduduk Kampung Kubang Lintah, Rosli Bukhari, 46 berkata, ribuan penoreh getah secara pawah hanya akan mampu menarik nafas lega jika kerajaan menguatkuasakan harga lantai getah pada harga RM4 sekilogram.

“Tolonglah kerajaan Najib dan Menteri Besar Kedah la ni ambil kira kepayahan hidup penoreh. Sudahlah nak harapkan bantuan Baitulmal tiada walaupun berita TV kata berjuta-juta kutipan dapat,” keluh Rosli.

Seorang lagi penduduk dari Kampung Tala , Yatim Salleh, 55, berkata kejatuhan harga getah begitu teruk sehingga menjejaskan kemampuan penoreh untuk mendapatkan makanan.

“Kalau yang menoreh pawah lagi kasihan. Sekilo getah sekerap kalau RM2 bahagi dua dengan pemilik kebun, dapatlah seringgit.

“Nak beli ikan termenung (kembung) pun tak boleh sebab sekilo la ni sudah RM7 hingga RM10.

“Jadi, kena dapatkan lebih kurang 10 kilo getah sekerap, baru boleh beli sekilo ikan termenung. Boleh Najib buat kalau betul mahu ambil berat nasib rakyat?” ujarnya yang menoreh di kebunnya sendiri.

Menurut ayah kepada enam anak ini pula, musim kemarau yang berpanjangan awal tahun ini juga menyebabkan pengeluaran susu getah berkurang.

“Maaf cakap. Najib memang tak bagus pasal bagi beban pada rakyat. Harga getah jatuh tapi harga barang naik menggila,” tambah Yatim lagi.

Mereka yang ditemui ketika kunjungan Misi Bantuan Kemanusiaan Amanah Batu dengan kerjasama Amanah Sik ternyata amat tertekan dengan situasi kritikal ini.

Terpancar kegembiraan ibu kepada tiga anak, Mazlina Osman, 38, ketika ditemui di Kampung Baru Nami, Jeniri yang terletak di Parlimen Sik yang menerima sumbangan misi berkenaan.

Mazlina Usman bersama anaknya.Beliau amat bersyukur menerima sumbangan bantuan barangan keperluan dapur dan wang saku daripada Amanah.

“Tidak pernah saya terima bantuan begini. Alhamdulillah. Terima kasih Amanah kerana dapat juga meringankan belanja dapur kami buat sementara waktu,” ujarnya.

Menurut tukang kebun sekolah ini, pendapatan diperolehnya sebanyak RM900 sebulan dapat menampung beban kewangan keluarganya ekoran kejatuhan berpanjangan harga getah.

“Suami saya menoreh dan dengan harga barang semakin naik, saya perlu bekerja,” tambahnya yang tinggal di Kampung Danglau.

Sementara itu, Mazlina seperti ramai penerima bantuan Misi Bantuan Kemanusiaan Amanah Batu dengan kerjasama Amanah Sik mengakui tidak memperoleh bantuan lain termasuk Baitulmal walaupun berpendapatan rendah.

10 kilo getah sekerap untuk beli sekilo ikan termenung, Najib mampu? cabar penoreh.

Seramai 27 penduduk Kampung Kubang Lintah di Dun Jeneri menerima sumbangan bekalan makanan dan wang saku sempena Misi Bantuan Kemanusiaan Amanah Parlimen Batu dan Majlis Perpaduan dan Pembangunan Kampung Banda Dalam (Padu) hari ini.

Mereka yang berpendapatan di bawah garis kemiskinan ini antara 100 penerima bantuan dalam program sehari dengan kerjasama Amanah Parlimen Sik.

TAGS