Penoreh tua gigih banting tulang sara keluarga

Penoreh tua gigih banting tulang sara keluarga

Ku Dai Ku Ismail, kelahiran Padang Sera Kubang Pasu Kedah telah berhijrah ke Kampung Ulu, Padang Sanai, Padang Terap pada penghujung dekad 1960-an untuk mencari kehidupan yang lebih baik.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ku Dai dan isteri Pora Hamid berehat di luar rumah kediaman mereka.Ku Dai Ku Ismail, kelahiran Padang Sera Kubang Pasu Kedah telah berhijrah ke Kampung Ulu, Padang Sanai, Padang Terap pada penghujung dekad 1960-an untuk mencari kehidupan yang lebih baik.

Kehidupan yang susah membuatkan lelaki berusia hampir seabad itu terpaksa membawa diri membina kehidupan terasing dari masyarakat ramai.

Dia memugar dan meneroka tanah-tanah di Padang Terap untuk dijadikan tempat kediaman dan kawasan tanaman menyara kehidupan keluarga.

Tetapi segala usahanya membanting tulang empat kerat, memugar, menanam dan mengusahakan tanah hutan sekian lama telah musnah sekelip mata apabila kerajaan negeri Kedah yang ketika itu di bawah teraju Syed Ahmad Shahabuddin mengambil keputusan menjadikan seluruh kawasan Padang Terap sebagai ladang tanaman tebu.

Walaupun beliau merasakan ini adalah mimpi ngeri sepanjang hidupnya, Ku Dai terpaksa akur dengan arahan kerajaan negeri kerana perkampungan mereka akan dimusnahkan dan mereka dipindahkan ke kawasan penempatan baru, di Kampung Ulu.

Berjalan jauh untuk membeli barangan keperluan harian.Impian Ku Dai mencari penghidupan yang lebih baik rupa-rupanya tidak kesampaian. Tapak kediaman yang tidak sampai setengah relung disediakan oleh kerajaan untuknya di kampung ulu itu tidak memadai untuk dijadikan sandaran pencarian rezeki untuk keluarganya.

Justeru itu Ku Dai terpaksa bekerja di ladang tebu Padang Terap dengan upah RM3.00 sehari sebagai satu-satunya sumber kewangan beliau dan keluarga.

Setelah semua kebun, sawah dan kawasan kediaman dimusnahkan oleh kerajaan negeri, Ku Dai bersama penduduk lain terpaksa memanjat bukit memulakan usaha yang pernah dilaluinya seawal 1970-an dulu, memugar kawasan bukit untuk dijadikan kebun getah.

Menceritakan keperitan meneroka kawasan baru itu, Ku Dai menjelaskan mereka menggunakan tenaga sepenuhnya sama ada menebas, menebang, membakar, memerun dan menanam pokok-pokok baru.

“Semuanya kami usahakan sendiri. Jika ada duit beli benih anak getah untuk ditanam. Sekiranya duit tidak mencukupi, terpaksalah masuk ke kawasan getah yang sudah tua untuk cabut anak-anak getah yang tumbuh liar untuk ditanam. Benih getah yang ini tak kena duit, ambillah banyak manapun,” terang beliau ketika dikunjungi di kediaman beliau.

Begitulah warna-warna kehidupan harian Ku Dai, usia rehatnya terpaksa digunakan untuk meneroka hutan untuk dijadikan kebun getah demi survival kehidupan bersama keluarga.

Sekalipun diwajahnya terpalit seribu kekecewaan terhadap kerajaan BN negeri kerana merampas tanah rakyat untuk dijadikan ladang tebu kononnya untuk kebaikan penduduk tempatan, tetapi ternyata janji itu kosong belaka.Kehidupan penduduk terus menerus dalam kesusahan.

Kebun getah yang diusahakan Kudai dibakar pihak tidak bertanggungjawab.Namun apa yang boleh dibanggakan, sosok yang kelihatan uzur ini masih boleh berdiri meneruskan langkah-langkah perjalanan hidup meninggalkan titik-titik kekecewaan lalu.

Ku Dai terus menongkah perjalanan jauh namun diraut wajahnya terpahat kecekalan untuk meneruskan sisa-sisa hidup yang berbaki.

Kini usianya menjangkau seabad, kecekalan masih terpatri kukuh tetapi kudratnya sudah semakin kendur, tenaganya sudah semakin menurun.

“Kebun getah ada tetapi tidak ada pula orang yang motong sebab sekerap harga murah, duit pula nilai jatuh,” keluhnya sambil merenung jauh ke puncak Bukit Terebak yang kini menjadi lokasi kediaman barunya sejak lima tahun lalu.

Menurutnya, punca orang tidak mahu menoreh adalah kerana faktor harga getah sekerap yang amat rendah iaitu sekitar RM2 sekilo. Pendapatan daripada menoreh tidak mencukupi untuk menyara hidup apatah lagi jika dibahagi dua dengan pemilik kebun getah.

Keadaan lebih memeritkan apabila tiba musim kemarau kerana hasil susu getah menurun sekaligus menyempitkan lagi sumber rezeki keluarga penoreh di sekitar Daerah Padang Terap.

Ku Dai mahu kerajaan menetapkan harga lantai getah sekerap kepada RM3.50 sekilo bagi membantu penoreh dan pekebun kecil yang bergantung kepada hasil getah.

“Semasa di kampung ulu kami tidak ada apa-apa yang boleh diusahakan, yang diberi hanya tapak rumah, kami nak makan apa untuk hidup sebab itulah saya pindah kemari.

“Di sinipun tak terlepas dari perbuatan khianat, pondok lama tempat saya tinggal pernah didatangi oleh dua orang suruhan kompeni, mereka datang dua orang membawa minyak di tangan, mereka mahu bakar dangau tempat tinggal saya,” dakwa Ku Dai.

Bukan sekadar itu sahaja, kebun-kebun getah yang mereka tanam juga dibakar pihak tidak bertanggung jawab bagi menghilangkan bukti usaha penduduk.

Perigi menjadi punca mendapatkan bekalan air.Syarikat perladangan mahu mengambil tanah-tanah yang diusahakan penduduk malah sebahagian daripada mereka telah diseret ke mahkamah atas tuduhan menceroboh tanah milik syarikat.

“Kerajaan sepatutnya menjaga rakyat, tetapi di sini tidak terjadi seperti itu, rakyat sentiasa dibelakangkan dan syarikat yang kaya didahulukan,” ujar warga emas itu.

Sebagai seorang yang telah berusia, Ku Dai juga berharap kerajaan membantunya mendapatkan sumber bekalan air bersih dan elektrik.

Kediamannya jauh dari sebarang kemudahan asas, pelita minyak tanah sebagai teman setia bila malam menyelubungi, jika mempunyai wang untuk membeli petrol, kedengaranlah deruan generator menjadi sumber tenaga elektrik di waktu malam.

Bekalan air di kediaman Ku Dai hanyalah kolam tadahan air hujan dan telaga yang terletak kira-kira 500 meter daripada rumah.

“Kalau hujan tidak turun atau musim kemarau, air telagalah kena angkut untuk mandi dan minum,” katanya.

Bertemankan seorang isteri yang setia, Pora Hamid, 84, mereka kini menyisihkan diri dari kehidupan ramai.

“Saya pindah ke tepi bukit ini untuk memudahkan kerja di sini, kalau duduk di kampung nak kena ulang alik datang sini berjalan kaki,” cerita beliau bila ditanya kenapa berpindah dan menetap di tempat sekarang.

Kambing peliharaan anak Ku Dai membantu pendapatan keluarga. Sebagai orang tua lama, Ku Dai juga mengamalkan ilmu perubatan tradisional yang diwarisi dari ibunya yang memang dikenali penduduk sekitar Padang Terap.

Hanya itulah kerja yang mampu dilakukan olehnya bagi menyara kehidupan.

Ku Dai juga berkebolehan merawat berbagai jenis penyakit menggunakan kaedah rawatan tradisional.

Untuk sampai ke kediaman beliau mengambil masa kira-kira setengah jam dari bandar Kuala Nerang menuju ke Durian Burung.

Beliau kini tinggal di kaki Bukit Terebak bersebelahan lebuhraya Durian Burung ke Baling.

TAGS