Malaysia Dateline

Pensejajaran pintu belakang rampas mandat rakyat, bidas Mujahid

Naib Presiden AMANAH Nasional, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof terus bersuara di Twitter apabila menggelarkan pensejajaran pintu belakang sebagai tindakan yang merampas mandat rakyat.

Beliau dalam ciapannya pagi tadi, membidas bahawa pensejajaran sepatutnya dilakukan dengan mandat rakyat.

Katanya, mana-mana pihak yang mencuri mandat dari pintu belakang akan menerima tulahan (sumpahan) rakyat.

“Pensejajaran tidak perlu berlaku dari pintu belakang, (tetapi) pensejajaran boleh dan mesti berlaku dari mandat rakyat.

“Gabungan baru sebagai alasan pensejajaran adalah dalam perkataan lain ‘Rampas Mandat’.

“Malangnya media guna pensejajaran tapi ia (sebenarnya) perampasan mandat!

“Mana-mana pihak yang mencuri mandat dari pintu belakang akan menerima tulahan rakyat. Kami tetap mempertahankan mandat,” tegasnya.

Tambahnya lagi, mandat rakyat adalah segalanya, justeru mempertahankan mandat adalah tujuan Pakatan Harapan (PH) mentadbir setelah diberi kepercayaan.