Penstandardan penting bagi pertumbuhan kewangan Islam – CBB

Penstandardan penting bagi pertumbuhan kewangan Islam – CBB

Pihak pengawal selia dan peserta kewangan Islam digesa menerima pakai penstandardan untuk mendorong pertumbuhan industri itu serta melancarkan transaksi rentas sempadan.

Pengarah Eksekutif Penyeliaan Perbankan, Central Bank of Bahrain (CBB), Khalid Hamad berkata pada masa ini, banyak negara menerima pakai piawaian sedia ada yang dibangunkan oleh Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam yang berpangkalan di Bahrain, Pasaran Kewangan Islam Antarabangsa dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam.

“Kami berpandangan industri kewangan Islam telah mencapai kematangan namun perlu dimajukan lagi.

“Bagaimanapun, tanpa penstandardan yang sewajarnya di peringkat global dan kewujudan jumlah perniagaan rentas sempadan yang mencukupi, kewangan Islam tidak dapat mencapai peringkat seterusnya iaitu globalisasi,” katanya semasa temu bual di luar Persidangan Perbankan Islam Sedunia baru-baru ini, yang diadakan di Amwaj Islands, terletak 16.1 kilometer dari ibu negara Bahrain, Manama.

Buat masa ini, kebanyakan transaksi kewangan rentas sempadan dilakukan melalui kaedah konvensional, katanya.

Khalid berkata dalam usaha untuk kewangan Islam mencapai prestasi lebih baik dan pertumbuhan lebih tinggi, piawaian antarabangsa yang dikeluarkan setakat ini perlu dibentangkan semula untuk dibincangkan.

Beliau berkata penstandardan merupakan faktor penting bagi kejayaan kewangan Islam di peringkat global, mewakili pasaran yang sangat kecil berbanding kewangan konvensional.

“Kewangan Islam kebanyakannya tertumpu di pasaran domestik tetapi ini bergantung kepada pihak pengawal selia untuk memutuskan sama ada mereka serius dalam mengembangkan industri ini.

“Ia tanggungjawab bank-bank pusat. Sekiranya bank-bank pusat membuat keputusan dan mengambil serius mengenai penstandardan, anda akan melihat perbezaan yang amat ketara,” katanya.

Pada Oktober tahun lepas, Fitch Ratings berkata kekurangan penstandardan dalam kewangan Islam merupakan halangan utama terhadap pertumbuhan industri tersebut.

Ia menjangkakan kemajuan industri berkenaan akan perlahan berdasarkan tahap cabarannya dengan penyelarasan lebih besar bagi pengkanunan syariah di dalam dan antara bidang kuasa yang sering disebut sebagai faktor yang mengehadkan.

Bagaimanapun, agensi penarafan percaya ia hanya satu daripada lima bidang yang bertindih di mana penstandardan dan pengkanunan lebih tinggi diperlukan jika kewangan Islam ingin mendapat penerimaan yang lebih meluas dalam kalangan pelabur serantau dan antarabangsa.

Dari segi prinsip pematuhan syariah, Fitch Ratings melihat penstandardan akan memberi faedah, khususnya bagi struktur produk dan dokumentasi, rangka kerja penyeliaan dan pengawalseliaan, undang-undang dan penyelesaian pertikaian selain pelaporan perakaunan kewangan.

Dari sudut berbeza, Pengarah Eksekutif Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa bagi Kewangan Islam (ISRA), Profesor Dr Mohamad Akram Laldin, berkata sukar untuk mengenakan sebarang standard tertentu ke atas sesebuah negara disebabkan struktur perundangan dan cukai yang berbeza selain keperluan pengawalseliaan,

“Sukar untuk mencari satu model yang memenuhi keperluan semua. Ini sebabnya mengapa pendekatan untuk menyelaraskan, merapatkan jurang pandangan yang berbeza dan kelainan dalam interpretasi (penting terutamanya untuk) transaksi rentas sempadan,” katanya.

Mohamad Akram berkata, dalam konteks Malaysia, negara ini berusaha untuk menyelaraskan antara pandangan sarjana kewangan Islam dengan interpretasi berkenaan syariah agak sejak sekian lama.

“Kita mempunyai Majlis Penasihat Syariah di Bank Negara Malaysia, sehinggakan semua produk di bank perlu melaluinya, berbeza dengan produk pasaran modal yang perlu melalui Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti.

“Justeru, proses berkenaan sehingga ke tahap tertentu (adalah) dipercayai untuk merapatkan jurang pandangan berbeza antara para sarjana,” katanya.

Sehingga kini, 15 piawaian sudah dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia dan pihak bank serta pengendali takaful wajib mematuhinya.

Mohamad Akram berpendapat penstandardan dalam industri kewangan Islam di Malaysia adalah yang paling maju memandangkan pihak pengawalseliaan sudah menetapkan mekanisme ini di pasaran, malah negara ini adalah antara yang pertama mewujudkan Majlis Penasihat Syariah.

— BERNAMA