Malaysia Dateline

Penstrukturan semula Pemuda AMANAH untuk berdepan PRU15

Pada 9 Ogos lalu, aku menulis satu tulisan tentang pemuda AMANAH bertajuk ; “Masanya kita satukan Pemuda AMANAH kembali”

Tulisan terbabit aku nukilkan peri penting kesatuan pemuda AMANAH setelah hampir dua tahun pemilihan yang merencatkan kekuatan pemuda.

Antara formula yang aku tulis adalah gandingan Ketua Pemuda dan Timbalan Ketua Pemuda haruslah dari dua kumpulan. Dan yang formula kedua adalah menstrukturkan kembali Naib-naib Ketua Pemuda agar lebih berfungsi.

Kedua-dua perkara di atas aku sebutkan harus dilakukan secara musyawarah atau rundingan, yang mana ‘ultimate goal’ adalah untuk mewujudkan pasukan Pemuda AMANAH yang kuat.

Aku tidak akan ulangi apa yang tertulis pada tiga minggu lalu tetapi pada tulisan kali ini aku cuba lontarkan satu pandangan, untuk menyusun kembali pasukan Pemuda AMANAH supaya boleh mara berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

Kenapa cadangan ini muncul? Ia adalah kerana peluang itu terbuka luas melalui “mesyuarat khas” pemuda yang akan diadakan untuk memilih Ketua Pemuda baharu mengantikan Allahyarham Shazni Munir.

Penstrukturan yang dilakukan haruslah berdasarkan merit kepimpinan dan tidak berpandukan kumpulan semata mata.

Merit kepimpinan bukan kerana seseorang itu YB, atau memegang jawatan dalam kerajaan. Kita sudah lakukan itu dan akhirnya dia khianat.

Merit itu dinilai melalui kerja yang dia lakukan, imej dia, ketokohan, hubungan luar, kepetahan bicara, tajam pemikiran, jauh pandangan dan tentu sahaja yang utamakan pemuda.

Agenda perpaduan telah dibawa oleh kedua-dua Ketua Pemuda terdahulu. Namun menemui jalan buntu dan kini kita dalam proses mencari Pemuda AMANAH yang ketiga pasca pemilihan 2019, sama banyak dengan jumlah Perdana Menteri Malaysia pasca PRU14.

Namun perpaduan akan gagal jika mengulangi plot yang sama apatah lagi dengan “recycle” kabinet sama. Harus ada keadilan, harus ada merit, dan wajib ada semangat juang yang tidak malu menonjol sebagai pemimpin Pemuda AMANAH.

Aku pernah sebut kepada beberapa Ahli Jawatankuasa Pemuda Nasional bahawa usaha perpaduan akan gagal jika AJK tidak disusun dengan betul.

Satu kelompok yang menguasai pengurusan berbekal majoriti tiga undi, sama sahaja dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tidak stabil namun kita tidak belajar dari apa yang berlaku.

Beberapa nama sebagai calon ketua pemuda boleh diketengahkan dan dibincang. Paling penting, ketua pemuda harus yang diyakini mampu menyatukan, bergerak kerja dengan baik, melaksanakan komitmen yang jitu serta semangat kepemudaan yang terlihat.

Ketua pemuda juga haruslah individu yang boleh diterima oleh majoriti AJK dari kedua belah pihak dan senang bekerja dengannya. Nama baru boleh dikedepankan jika ia boleh bawa kita capai matlamat.

Apa yang menjadi kekecewaan adalah sekiranya pada mesyuarat khas kelak, struktur yang sama kembali dan kita akan ada satu tahun lebih mengulangi prestasi yang sama.

Lupakah pemuda pada Konvensyen lalu, pemuda dikritik hebat oleh Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden? Mahu ulangi aib sama pada tahun ini?

Mesyuarat khas kelak harus ada perubahan, bukan dari kumpulan A pergi kepada kumpulan B. Ssebaliknya struktur baru yang adil, ikut merit, dan padu harus diwujudkan.

Namun jika kekal dengan struktur lama, jalan terakhir kita adalah Konvensyen Pemuda AMANAH Negeri yang akan bermula 5 September hingga 10 Oktober ini, harus membawa usul mendesak penstrukturan ini dilakukan.

————————

Ahli Pemuda AMANAH

*Tulisan adalah pandangan peribadi penulis sebagai ahli parti