Pensyarah IPTS sanggup tinggalkan kerjaya dan jadi ‘cleaner’ di Singapura, berbaloi dapat gaji cecah RM10K

Oleh KIM SYAZIE

Seorang pensyarah di sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) sanggup meninggalkan kerjayanya dan berhijrah ke Singapura untuk bekerja sebagai tukang cuci demi mendapatkan gaji lebih berbaloi.

Tidak menyesali keputusan yang dibuat, individu itu memberitahu dia dibayar gaji lumayan sekitar $3,100 sebagai tukang cuci iaitu kira-kira RM10,815 jika ditukar ke ringgit Malaysia.

Dia juga mengakui kerja di Singapura telah banyak mengubah kehidupannya berbanding sebelum ini ketika dia hanya dibayar sekitar RM1,900.

Begitupun individu itu tidak bercerita lanjut bila dia meninggalkan kerjayanya sebagai pensyarah.

“Betul orang kata kerja di Singapura boleh ubah nasib. Saya sebelum ini mengajar di IPTS selama lima tahun. Gaji akhir saya di IPTS sebanyak RM1,900.

“Selama lima tahun saya kerja, setiap bulan mesti ada fasa tak cukup duit. Kadang tak sampai pertengahan bulan. Gaji tak naik-naik tapi harga barang selalu naik. Tak boleh bertahan.

“Tertekan tahap tak boleh nak kerja dah sebab selepas dapat gaji pun tertekan lagi nak fikir bayar itu ini, keperluan rumah,” kongsinya dalam satu laman kumpulan Facebook seperti dilapor mStar.

Portal itu melaporkan, walaupun Individu itu kini tidak menjadi pendidik, namun dia bersyukur kerana gaji yang diterimanya jauh lebih tinggi berbanding pendapatannya sebelum ini.

“Alhamdulillah, saya dapat kerja jadi pekerja pembersihan, gaji pokok kira-kira $3,100. Boleh cuba tukarkan sendiri,” ujarnya.

Dalam pada itu, dia turut akui bekerja di negara jiran adalah ‘jalan pintas’ buatnya untuk menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi.

Dia sendiri mampu menarik nafas lega dengan hanya gaji pertama yang diterimanya sebagai pekerja pembersihan.

“Mana yang tak ada jalan nak bayar hutang, buntu hutang berpuluh ribu… ini je la shortcut anda ada. Gaji pertama pun dah bolehbayar macam macam. Anda tak akan menyesal.

“Kalau orang lain kata sesak lalu lintas kat Singapura macam teruk. Percayalah kalau dah kerja, anda boleh hadap sebab rasaberbaloi dengan apa yang anda dapat,” katanya.

Namun semakan terkini mendapati hantaran tersebut telah dikeluarkan dari grup Facebook berkenaan, gara-gara perkongsiannya mempengaruhi masyarakat untuk bekerja di Singapura, dan bukan mencari jalan penyelesaian bagi menangani masalah beban hutang dan muflis.

Baca juga: Linda Onn nafi gaji cecah RM45,000, nama tengah ‘gah’ pun hanya terima banyak ini