Malaysia Dateline

Pensyarah UUM tawar RM2,000, mahu maklumat rider Foodpanda yang dibantu Steven

Seorang pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff menawarkan sejumlah RM2,000 kepada sesiapa yang boleh memberikannya maklumat tentang rider Foodpanda yang dibantu ADUN Bukit Mertajam, Steven Sim.

Beliau berkata, saguhati akan diberikan kepada sesiapa sahaja yang mampu memberi maklumat seperti nombor telefon, alamat tempat tinggal atau alamat tempat kerja anak Kelantan itu.

“Disebabkan oleh beberapa misteri yang menyelubungi diri beliau, sukacita dimaklumkan bahawa saya serta dua rakan Facebook saya, iaitu Datuk Dr Wan Zawawi Wan Ismail dan Saudara Saiful Haq, dengan ini menawarkan saguhati sebanyak RM2,000.

“(Saguhati diberi) kepada sesiapa sahaja yang mampu memberi maklumat seperti nombor telefon, alamat tempat tinggal atau alamat tempat kerja anak Kelantan pekerja Panda Food yang dibantu oleh Steven Sim.

“……Sehingga beliau dapat dipertemukan dengan saya untuk tujuan pemberian sumbangan tertentu kepada beliau,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Sebelum ini, tular kontroversi antara Kamarul dan Steven apabila pensyarah itu menyenaraikan kerja amal Steven dan memberi peringatan kepada umat Islam supaya berhati-hati menerima bantuan daripada “mubaligh Kristian”.

Beliau merujuk kepada bantuan Steven yang menghadiahkan sebuah motosikal kepada pemuda bernama Mohamad yang bekerja sebagai rider Foodpanda.

Susulan tuduhan berterusan yang dilemparkan, Steven kemudian membuat keputusan mengambil tindakan undang-undang dan telah mengarahkan peguamnya untuk meneruskan tindakan tersebut.

Menurutnya, tuduhan yang dibuat Kamarul bukan sahaja merosakkan namanya sebagai seorang Ahli Parlimen, malah lebih bahaya lagi, mengapi-apikan sentimen kaum dan agama dalam masyarakat.