Pentadbir harus nasihat, halang jika Menteri langgar akta

Pentadbir harus nasihat, halang jika Menteri langgar akta

Terdapat beberapa pandangan atau tuduhan bahawa Ketua Setiausaha (KSU) pembuli Menteri, Menteri tunduk kepada Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan KSU; PTD bersultankan Umno atau senada dengannya.

Mungkin benar mungkin tidak atau mungkin ada lompang pengetahuan atau ilmu tentang peranan KSU/PTD atau pentadbir, justeru terhasil persepsi sedemikian. Ini adalah satu keadaan yang tidak menghairankan memandangkan kedua-dua pihak KSU/PTD dan Menteri berkaitan sedang melangkah ke dunia baru.

Malah pihak ketiga sebagai pemegang taruh yang terbesar iaitu penyokong dan pendokong parti yang berkepentingan yang banyak merungut tentang perkara ini.

Izinkan saya memberi sedikit pandangan. Pertamanya yang harus difahami ialah segala sesuatu tentang pentadbiran sebuah organisasi besar seperti Kementerian ditadbir oleh penjawat awam dengan kuasa perundangan bertulis melalui akta dan peraturan yang termaktub dan berkuatkuasa turun-temurun.

Pembahagian kuasa dan penurunan kuasa jelas termaktub. Pegawai awam tidak mempunyai wewenang dan wibawa selain yang telah termaktub. Kuasa Menteri juga jelas di bawah akta dan peraturan bertulis.

Jadi, Menteri perlu ambil masa untuk belajar dan memahami. Seperkara lagi walau bertahun Menteri mengepalai sebuah Kementerian dia tidak berupaya tahu setiap perkara yang berlaku dalam konteks pelaksanaan tugas dan fungsi terperinci di bawah Kementeriannya yang punya berbelas Bahagian dan berbelas Badan Berkanun di bawahnya.

Jadi, bila terdapat persoalan tentang perkara detail yang bukan dasar utama maka Menteri nak tanya siapa? (Ini ulasan asas dan umum saja)

Perkara kedua ialah tentang KSU dan PTD. PTD atau Malayan Civil Service (MCS) adalah legasi yang diwarisi daripada zaman sebelum Merdeka. Beberapa kali sudah tukar nama.(sejarahnya panjang termasuk cerita PTN bagi bekas Unfederated Malay State dan lain-lain)

Ringkasnya, tugas PTD adalah sebagai pentadbir dalam hal Dasar, Kewangan, Perkhidmatan dan Perjawatan, Pembangunan dan Perkhidmatan Am. Hal-ehwal pelaksanaan tugas profesional adalah di bawah jagaan Pegawai Profesional berkaitan.

Contoh, Kem Pendidikan ada KSU dan Ketua Pengarah Pendidikan; Kem Kesihatan ada KSU dan ada Ketua Pengarah Kesihatan. Kini kebanyakan pangkat mereka adalah sama. Jadi jangan letak semua kepada KSU.

Pentadbir termasuk pegawai profesional yang mengelilingi Menteri. Bertukarlah Menteri atau sesiapa pun yang berjawatan politik namun peranan asas kementerian dan jabatan tidak berubah.

Apabila sesuatu dasar dan peraturan baru yang dibawa oleh Menteri maka Pentadbir tidak boleh halang selagi tidak melanggar akta dan peraturan. Malah, mereka wajib melaksanakannya dengan gigih.

Adakah bukti mana-mana Pentadbir melanggar arahan Menteri? Beranikah Pentadbir melanggar arahan Menteri selagi Menteri tidak melanggar akta dan peraturan?

Malah, pentadbir seharusnya menasihati dan menghalang jika Menteri melanggar.
Mungkin berlaku ada pentadbir bersekongkol melakukan pelanggaran dengan Menteri dalam pentadbiran kerajaan yang lepas.

Mungkin, tetapi menuduh pentadbir tidak bekerjasama dengan menteri adalah berat. Namun tidak hairan jika ramai penyokong PH yg beranggapan demikian kerana ini pertama kali parti bukan BN memerintah dan kurang faham tentang peranan pentadbir.

Tulisan ini sekadar ikhtiar menjelaskan. Wallahu’alam
.