Pentadbir UM contohi Parti Komunis China?

Pentadbir UM contohi Parti Komunis China?

Pemuda Pakatan Harapan mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak Universiti Malaya yang memberi notis kepada ahli akademik serta mahasiswa agar tidak memberi komen negatif, atau mengkritik pihak Kerajaan Persekutuan.

Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tindakan UM ini adalah tidak berasas dan bercanggah sama sekali dengan Perlembagaan yang menjamin hak bersuara mahupun undang-undang yang tidak melarang warga universiti membuat komen terhadap situasi politik dan pentadbiran negara, malah tidak menghalang pelajar menyertai aktiviti politik.

“Notis yang diberikan oleh UM jelas bertentangan dengan asas dan falsafah pendidikan sendiri yang menggalakkan keterbukaan dalam perbincangan dan pemerhatian apatah lagi oleh ahli akademik.

“Ahli akademik dan mahasiswa tentu perlu memberi komen tentang dasar dan pentadbiran negara dalam tugasan mereka.

“Mereka juga tidak patut disekat daripada bersuara, kerana mereka juga berhak memberi pandangan terutamanya apabila masa depan negara dipertaruhkan oleh pemimipin,” kata Nik Nazmi dalam satu kenyataan semalam.

Adakah ini standard yang kita tetapkan terhadap Insititusi Pengajian Tinggi negara, terutamanya sebuah institusi yang begitu disegani seperti UM? soal beliau.

Menurutnya lagi, amalan sebegini adalah amalan biasa negara-negara autokrasi. Negara China yang ditadbir Parti Komunis misalnya sedang mengetatkan kawalan terhadap universiti-universiti mereka. Adakah UM mengikut contoh negara komunis itu?

“Kami akan terus menuntut hak kebebasan akademik setiap IPT di negara ini tidak kira fahaman politiknya dan kami menyarankan agar pihak UM menghentikan segala tindakan intimidasi terhadap para pendidik dan pelajar,” kata beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia itu.

3.7
OVERALL SCORE
2 user votes x 5.5
CATEGORIES