Malaysia Dateline

Pentadbiran awam negara perlu direformasikan menepati Wawasan 2020

Pentadbiran Penjawat Awam di negara ini perlu direformasikan menepati Wawasan 2020 yang pernah digariskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1995.

Pandangan ini dilontarkan Naib Presiden Pakatan Harapan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dalam ucapan mewakili bekas penjawat awam negara.

Beliau berkata, pengalamannya mula menyertai penjawat awam 10 tahun selepas negara mencapai kemerdekaan, memperlihatkan penjawat awam begitu disiplin dan berintegriti dalam melaksanakan tugas-tugas mereka.

“Ketika British tiba di negara ini mereka ambil berat tentang disiplin. Bila dia jajah kita (penjawat awam) guna sepatu ada besi di bawah.

“Semua orang takut (dengar bunyi sepatu) duduk senyap di kerusi masing-masing pegawai Melayu ikut serta juga berdisiplin.

“Saya sertai penjawat awam 10 tahun selepas merdeka. Saya jalan macam oang putih tapi 10 tahun kemudian kasut ini tiada lagi, semua pegawai pakai kasut tapak getah di bawah. Sebab apa.. kerana pegawai tinggi pun datang ofis lewat,” ujarnya berseloroh yang diambut tawa lebih kurang 1,000 perwakilan di dalam dewan pada Konvensyen Pakatan Harapan hari ini.

Naib Presiden Bersatu ini juga mendedahkan ramai penjawat awam yang beliau temui menunjukkan sokongan terhadap Pakatan Harapan.

“Pergilah mana-mana cakaplah kepada kakitangan awam mereka mengatakan mereka tidak sabar untuk tukar kerajaan,” ujarnya.

Justeru beliau berkata, apa yang dilakarkan oleh Dr Mahathir dalam Wawasan 2020 perlu diteruskan sekiranya kerajaan PH memerintah kelak.

“Apa yang diamanahkan oleh Tun 1995 – Tun bagi arahan jelas kakitangan perkhidmatan awam jaga imej dan beri khidmat terbaik kepada rakyat dan negara. Mereka hendaklah laksanakan tangungjawab pentadbiran berkesan bagi mencapai pertumbuhan pada struktur asas negara.

“Selain menjadikan Malaysia negara maju sebagai rakan dalam konsep pensyarikatan Malaysia bukan lagi sebuah birokrasi penjajah yang hanya berkhidmat untuk pejabat kolonial.

“Tapi sekarang di mana Wawasan 2020 pergi? Tak tahu mana pergi kerana rakyat sekarang tahu TN50 (Transformasi Nasional 2050) kerana Wawasana 2020 tak boleh capai mereka sudah sapu licin, wang pembangunan negara dicuri habis.

“Kita jangan lupa 2020 jika kita tidak boleh capai kita tolak ke depan sikit tapi bukannya 2050.

“Tetapi kerajaan yang ada sekarang dia ubah kerajaan berniaga. Kerajaan pula nak sapu duit dan muka tak malu,” ujarnya.

Justeru Abdul Rashid mahu agenda reformasi meneruskan perubahan dalam pentadbiran penjawat awam dilakukan sekiranya BN berjaya ditumbangkan.