Pentadbiran maahad tahfiz di bawah Jais akan jadi modul DPTN

Pentadbiran  maahad tahfiz di bawah Jais akan jadi modul DPTN

Modul Pendidikan Tahfiz dari Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (Jais) dijangka akan menjadi salah satu modul dalam pengubalan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN).

Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran (Pitas) Negeri Selangor adalah salah satu jawatankuasa pengubalan DPTN yang dipertanggungjawabkan menyusun dan merangka modul bersepadu yang akan digunapakai oleh semua kerajaan negeri, agensi, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan/Majlis Agama Islam Negeri dalam memperkasakan sistem pendidikan tahfiz di negara ini.

Pengerusi Pitas Selangor Ustaz Muhammad Hafiz Mohd Haneefa atau lebih dikenali sebagai PU Hafiz antara salah seorang yang terbabit secara langsung merangka sistem pendidikan tahfiz di bawah kerangka DPTN itu.

Di bawah Pitas Selangor sahaja terdapat 400 maahad tahfiz yang mana 306 didaftarkan di bawah Jais dan selebihnya masih dalam proses pendaftaran.

Menurut PU Hafiz lagi, dengan modul yang diselaraskan di Selangor di bawah pentadbiran Jais, pengusaha maahad tahfiz akan diberikan pendaftaran sementara untuk temppoh setahun diperbaharui dan kemudian akan diberikan pendaftaran kekal untuk lima tahun diperbaharui.

Beliau menerangkan sekian lama berlaku permasalahan membabitkan kebanyakan maahad-maahad tahfiz didapati tidak berdaftar atau mendapat kelulusan agensi kerajaan kerana ia tperaturan yang tidak diselaraskan oleh setiap Jabatan/Majlis Agama Negeri.

Baca; Mudir akui hanya pendaftaran sementara

Baca: Majlis  Tahfiz Negara

Baca: Segera gubal akta  Majlis Tahfiz Negara

Ini kerana katanya, syarat-syarat yang rumit terpaksa dipenuhi oleh pengusaha maahad tahfiz di negara ini sebelum diluluskan oleh agensi-agensi berkaitan.

“Ada sebuah negeri jika maahad tahfiz tidak diwakafkan kepada majlis agama, ia tidak boleh didaftarkan…ada di setengah negeri hanya ada pendaftaran sementara dan ada disetengah negeri pula hanya ada pendaftaran kekal sahaja.

“Jika nak dapatkan pendaftaran kekal pengusaha perlu mendapatkan kelulusan PBT, Bomba, Kementerian Kesihatan dan sebagainya sebelum memperoleh kebenaran merancang,sedangkan syarat-syarat itu tidak dapat dipenuhi kebanyakan pengusaha maahad tahfiz.

“Tidak adil bagi maahad tahfiz di seluruh negara kerana ia seperti tidak membantu, tetapi apa yang dilakukan kerajaan negeri Selangor dan Jais adalah salah satu langkah ke hadapan untuk mengatasi masalah yang dihadapi pengusaha maahad tahfiz ini,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau juga berkata modul di bawah Jais ini telah pun dibawa perbincangan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk diangkat sebagai modul dalam sistem pendidikan tahfiz di negara ini.

“Hanya sejauh mana Majlis Agama Islam Negeri untuk mengambil modul dari Jais ini untuk dilaksanakan di negeri masing-masing kelak. Kita harap majlis agama islam negeri dapat membantu semua pengusaha maahad tahfiz”, ujarnya.

Bengkel yang diadakan di kalangan pengendali maahad tahfiz dan persatuan tahfiz di bawah jawatankuasa induk yang terbabit dalam proses pengubalan DPTN dan kerangka Majlis Tahfiz Negara.