Pentagon bakal hantar 3,750 lagi anggota tentera ke sempadan AS-Mexico

Pentagon bakal hantar 3,750 lagi anggota tentera ke sempadan AS-Mexico

Pentagon pada Ahad mengumumkan akan menghantar sejumlah 3,750 anggota tentera ke sempadan Amerika Syarikat (AS)-Mexico selama tiga bulan bagi membantu ejen Kastam dan Perlindungan Sempadan AS, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan agensi itu.

Menurut kenyataan Pentagon, penghantaran itu bakal menyaksikan jumlah anggota tentera yang membantu ejen terbabit di kawasan sempadan meningkat kepada 4,350 orang.

“Unit tambahan akan dihantar bertugas di sana selama 90 hari dan kami akan terus menilai komposisi pasukan itu yang diperlukan bagi memenuhi misi untuk melindungi serta mengawal kawasan sempadan di bahagian selatan,” menurut kenyataan itu.

Pengumuman itu dibuat ketika anggota parlimen kedua-dua pihak cuba berunding bagi mencapai kata sepakat berkaitan pembiayaan keselamatan di kawasan sempadan untuk mengelak satu lagi penutupan sebahagian kerajaan.

Presiden AS Donald Trump telah berulang kali membayangkan hasrat untuk mengisytiharkan darurat jika kata sepakat itu tidak membabitkan pembiayaan pembinaan tembok di sempadan Mexico, yang merupakan antara janji utama kempen beliau pada pilihan raya presiden 2016.

Perisytiharan itu akan membolehkan Trump melangkau kelulusan kongres serta mengalihkan dana yang sudah diperuntuk bagi tujuan lain, mungkin untuk Pentagon, kepada pembinaan temboknya di sempadan Mexico, namun ia hampir pasti bakal mencetuskan tindak balas negatif dari segi politik dan cabaran perundangan.

Dalam satu temu bual CBS yang bersiaran pada Ahad, Trump berkata beliau tidak akan “menerima apa sahaja yang ditawarkan.”

Ketiadaan kata sepakat antara pihak Rumah Putih dan Kongres Demokrat berhubung isu pembiayaan tembok itu telah membawa kepada penutupan bersejarah sebahagian kerajaan AS selama 35 hari yang berakhir pada 25 Januari- BERNAMA