Penting pemisah kuasa, penjawat awam bantu pulih negara

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Dataran Putra, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini. Turut hadir KSU Tan Sri Dr Ali Hamsa  (kiri) dan (kanan)  KP Perkhidmatan Awam Tan Sri Zainal Rahim Seman- Foto Bernama.

Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan menekankan kepada kepentingan pemisahan kuasa antara legislatif, eksekutif dan kehakiman bagi menjadikan negara kembali dihormati di persada dunia.

Beliau berkata, penjawat awam harus sedar pentadbiran negara yang dahulu dianggap terbaik dalam kalangan negara Komanwel kini sudah tidak lagi dihormati seperti dahulu.

“Kita dapati ramai daripada anggota pentadbir mungkin kerana takut, mungkin kerana disogok telah lakukan perbuatan-perbuatan yang tidak baik yang merugikan negara.

“Kita dapati kewangan negara kita umpamanya telah dicabul begitu besar sehingga menghadapi masalah hutang sudah meningkat trilion ringgit, ini tidak pernah dilakukan kita, dahulu kalau ada hutang jumlahnya tidak lebih RM300 bilion tetapi sekarang sudah meningkat RM1 trilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pertemuan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Dataran Putra, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.

Turut hadir sama, isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Ini merupakan perjumpaan pertama Dr. Mahathir bersama penjawat awam sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 10 Mei lalu.

Dr. Mahathir menegaskan, untuk mengatasi masalah yang dihadapi negara, perlunya ada kerjasama antara kerajaan yang meliputi wakil rakyat dan anggota perkhidmatan awam.

“Tetapi pentadbir tidak harus melakukan apa-apa bertentangan dengan undang-undang walaupun diarah oleh pihak yang menjadi kerajaan sekarang ini.

“Perpisahan kuasa antara kita perlu dikekalkan dan hanya dengan cara itu sahaja, barulah kita boleh menentukan tiada penyelewengan dalam pentadbiran negara kita,” katanya seperti dilapor Utusan online.

Astro Awani pula melaporkan Dr Mahathir Mohamad hari ini meminta penjawat awam membantu pentadbirannya memulihkan Malaysia.

“Dulu negara kita dihormati, tetapi sekarang sudah tidak dihormati seperti dulu.

“Menjadi tugas kita semua untuk memulihkan negara supaya kembali dipandang tinggi dan dihormati di seluruh dunia,” katanya.

Ucapan berkenaan menjadi pertemuan pertama Tun Mahathir dengan penjawat awam, selain pertemuannya dengan pentadbiran tertinggi semua kementerian pada 14 Mei lalu.