Malaysia Dateline

Pentingnya Asean bersikap terbuka dalam perdagangan, kata Mahathir

Dr Mahathir menegaskan kepentingan ASEAN untuk bersikap terbuka dalam soal perdagangan, walaupun perang dagang antara Amerika Syarikat dan China sedang berlaku, lapor Malaymail.

Beliau juga menyatakan perang dagang ini akan menghasilkan “domino effect” yang akan menyebabkan negara maju untuk mengambil dasar tertutup atau “protectionism” terhadap negara membangun seperti ASEAN.

“Kebangkitan dasar perdagangan tertutup, gerakan nasionalis seperti sedang berlaku secara perlahan di dalam ASEAN sendiri,” jelas beliau ketika menyampaikan ucaptama di Sidang Perniagaan dan Pelaburan ASEAN di Singapura.

“Ketika ini bukanlah masanya untuk kita menutup pintu dan mengamalkan dasar tertutup, tetapi kita seharusnya mencari penyelesaian dalam isu perdagangan melalui perbincangan multilateral antara negara-negara ASEAN,” tambah Dr Mahathir.

“Sekarang ini kita seharusnya mengembangkan perdagangan intra-ASEAN dan integrasi ekonomi ASEAN,” katanya.

Dr Mahathir juga turut menyenaraikan dasar tertutup yang berkemungkinan akan dikenakan kepada ASEAN; kuota, embargo, sekatan, dan kekangan lain untuk mengawal pasaran, hak pengguna, pemeliharaan sumber asli dan diskriminasi terhadap barangan import.

Tambah beliau, Malaysia akan terus menyuarakan pandangan berkaitan isu-isu perdagangan dan risiko dasar tertutup ini kepada badan antarabangsa, seperti World Trade Organization (WTO).

Malaysia juga akan teruskan penglibatan aktif dan berunding atas platform antarabangsa seperti WTO demi memastikan dasar-dasar bersifat terbuka dan tidak mendiskriminasi negara-negara membangun dan kurang membangun.

“Bagi Malaysia, perdagangan bebas juga bermaksud perdagangan yang adil, dengan mengambil kira tahap ekonomi rakan-rakan dagang lain. Ini penting untuk memastikan hubungan dagang tidak menjadi suatu bentuk penjajahan baharu dan demi mengelakkan isu perdagangan dijadikan sebagai senjata untuk mendominasi.”

“Bagi Malaysia juga, kami berbesar hati untuk terlibat dalam perjanjian perdagangan yang akan memberi manfaat kepada negara membangun, terutamanya bagi syarikat-syarikat negara-negara membangun dan kurang membangun untuk masuk ke dalam “global supply chain,” tambah beliau.