Malaysia Dateline

Pentingnya taaruf jauhi kebencian, kata Ustaz Nik Omar

MEMAKNAI RAHMATAN LIL ALAMIN

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz menyifatkan konsep taaruf yang sebenar boleh dilaksanakan dalam kerangka Rahmatan Lil Alamin.

Menurut anak Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat itu, makna taaruf atau berkenalan adalah begitu luas dan boleh dilaksanakan dalam kerangka Rahmat Untuk Sekalian Alam.

“Taaruf itu begitu luas. Hanya bagaimana cara terbaik untuk laksana makna taaruf yang dikehendaki Allah. Dalam taaruf itu tidak ada makna permusuhan, kebencian, dengki dan dendam kesumat. Kalau kita kaji makna taaruf ia memberi makna hormat, tolong-menolong dan toleransi.

Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz

“Itu makna taaruf dalam konteks dua individu. Kalau taaruf antara dua negara ia memberi makna lebih luas. Itu sebab setiap negara ada kedutaan.

“Duta ini jadi jambatan untuk taaruf antara dua negara. Contohnya, Malaysia dan Arab Saudi. Kedutaan memudahkan kita untuk melanjutkan pengajian serta menunaikan haji dan umrah serta segala aktiviti kehidupan kita jadi lebih mudah kerana adanya kedutaan.

“Begitu juga orang Arab Saudi ke negara kita. Mereka juga berurusan melalui kedutaan. Itu konsep taaruf dalam konteks negara.

“Walaupun kita berbeza dari sudut warna kulit dan keturunan hatta agama sekalipun kita tetap boleh melaksanakan maknaa taaruf dalam kerangka Rahmatan Lil Alamin,” katanya dalam Forum Perdana: Islam dan Masyarakat di Dataran Datuk Sheikh Ahmad dekat Kangar, Perlis baru-baru ini.

1,400 tahun

Taaruf memberi makna hormat dan tolong-menolong bukannya permusuhan dan kebencian.

Beliau menegaskan kerangka Rahmatan Lil Alamin bukan perkara baharu sebaliknya sudah wujud lebih 1,400 tahun lalu.

“Contohnya Bismillah al-Rahman al-Rahim. Apa sahaja kita buat semuanya dengan nama Allah sebab semuanya berkait dengan Allah.

“Semua nikmat yang kita peroleh datang daripada Allah. Ar-Rahman ini untuk semua keturunan tanpa mengira wana kulit hatta agama.

“Kalau hendakkan keselamatan di dunia dan akhirat, kita kena jadi bertakwa perlukan ar-Rahim. Manusia mesti bertakwa dan berusaha tinggalkan apa yang dilarang. Rahman Allah meliputi segala-galanya,” jelas Ustaz Nik Omar.

Mengulas lanjut, Ustaz Nik Omar berkata, Islam yang menjadi anutan kita pada masa ini adalah anugerah dan nikmat Allah untuk manusia sebagai panduan kehidupan di dunia dan akhirat.

“Kekuatan Islam ini terpancar antaranya melalui ayat-ayat suci al-Quran. Saya lazim sebut satu ayat dalam al-Quran sudah cukup untuk kita faham apa matlamat dan tujuan kita hidup di muka bumi ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Islam berkait rapat dengan kehidupan dan kemasyarakatan kita pada masa ini dengan Allah mencipta kepelbagaian hidupan sama ada dari sudut warna kulit, keturunan dan bahasa.

“Semua ini adalah gambaran ciptaan keagungan dan kesempurnaan Allah. Apa tujuan Allah ciptakan kepelbagaian ini? Untuk kita saling berkenalan. Taaruf, hidup kita mesti dalam kerangka kemasyarakatan,” kata Ustaz Nik Omar lagi.

Islam berkait rapat dengan kehidupan dan kemasyarakatan.