Penubuhan Amanah cukup membanggakan, kata Mohamad

Penubuhan Amanah cukup membanggakan, kata Mohamad

Mohamad SabuPenubuhan Amanah yang baru menginjak sembilan bulan, berhadapan pula pertandingan lebih dua penjuru, kejayaan berada ditempat kedua mengekori BN di Sungai Besar dan ketiga di Kuala Kangsar dengan beza 800 undi dengan Pas, sudah cukup untuk dibanggakan.

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata, sekalipun penyertaan Amanah tidak berjaya, pada kedua-dua PRK, namun sekurang-kurangnya katanya telah memperkenalkan nama “Amanah” bukan sahaja kepada para pengundi di kedua-dua parlimen juga ke seluruh Malaysia melalui liputan media sepanjang tempoh itu.

“Di saat masih ada lagi penduduk Sungai Besar menganggap Khir Toyo sebagai Menteri Besar Selangor, sudah tentu satu cabaran besar untuk Amanah dikenali.

“Dalam pilihan raya kecil ini, pertembungan sesama parti pembangkang antara Pakatan Harapan dengan Pas sudah tentu sedikit sebanyak menyumbang kekeliruan di kalangan pengundi.

“Sebaliknya di peringkat BN, mereka jelas dilihat padu menghadapi pembangkang,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Mohamad berkata seusai berakhirnya PRK ini, Amanah dan Pakatan Harapan akan melakukan ‘postmortem’ dalam masa terdekat.

“Ini penting sebagai menilai dan mengatur semula strategi berhadapan BN menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 yang kita jangka tidak lama lagi.

“Saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera parti serta rakan-rakan pimpinan Pakatan Harapan daripada PKR dan DAP dan NGO yang telah menunjukkan kesepaduan dan kebersamaan yang tinggi sepanjang pilihan raya ini.

“Ini satu permulaan yang baik dan momentum ini seharusnya dikekalkan sehingga PRU-14 nanti,” ujarnya.

Beliau juga berkata atas sokongan banyak pihak Amanah berharap semua pihak berlapang dada dengan keputusan dalam PRK ini.

“Tidak lupa juga kepada ahli, penyokong dan individu yang turut serta membantu dalam kapasiti masing-masing termasuk menghulur sumbangan bagi menjayakan gerak kerja sepanjang kempen.

“Hanya Allah sahaja mampu membalas segala jasa dan pengorbanan anda semua.

“Apapun, bagi orang Islam, kita diajar untuk menerima ketentuan. Segala kelemahan kita akan baiki dari semasa ke semasa. Marilah kita berazam untuk terus bekerja kuat bagi masa-masa akan datang, dan selepas itu apa juga keputusan kita bertawakkal dan serahkan kepada SWT,” ujarnya.

COMMENTS

Wordpress (0)