Malaysia Dateline

Penubuhan MPKK Dun Balai Ringin mendapat sambutan

Penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Balai Ringin Serian mendapatkan sambutan menggalakkan daripada penduduk dan masyarakat di sekitarnya.

Ketua Penerangan Parti Keadilan (PKR) Cabang Parlimen Sri Aman merangkap Ketua PKR Dun Balai Ringin,Tay Wei Wei

Ketua Penerangan Parti Keadilan (PKR) Cabang Parlimen Sri Aman merangkap Ketua PKR Dun Balai Ringin,Tay Wei Wei berkata setakat ini sebanyak 42 MPKK telah ditubuhkan dan dijangka jumlah tersebut akan meningkat pada penubuhan fasa kedua November depan.

Beliau berkata, pihaknya telahpun mengeluarkan borang kepada penduduk di kampung -kampung terbabit bagi menyenaraikan ahli-ahli jawatankuasa yang dipilih nanti.

“Saya yakin kesemua 194 buah kampung di kawasan DUN Balai Ringin bakal menubuhkan MPKK selewat-lewatnya November depan’ ujarnya.

Menurut Tay, sambutan penubuhannya MPKK di DUN Balai Ringin amat memberansangkan memandangkan maklum balas yang diterima daripada seluruh penduduk setempat setakat ini.

Menurutnya, pemilihan ahli-ahli jawatankuasa MPKK di peringkat kampung nanti adalah terdiri di kalangan anak-anak kampung terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan usia.

“Rakyat di kawasan DUN Balai Ringin amat mengalu-alukan keprihatinan Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH)
kerana mengambil langkah bijak dalam menubuhkan MPKK di negeri ini,” tambahnya ketika ditemui pada sesi taklimat penubuhan MPKK di pejabatnya di Balai Ringin hari ini.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, ramai penduduk telah melahirkan rasa kesal mereka dengan sikap wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang cuba menggagalkan hasrat murni Kerajaan Pusat menyalurkan pembangunan untuk rakyat di negeri ini.

“Kita yakin dengan penubuhan MPKK, rakyat dapat menikmati hasil pembangunan yang telus tanpa ada sikap prejudis seperti yang berlaku sekarang ini,” katanya.