Malaysia Dateline

Penubuhan SC pacu pertumbuhan, kecekapan pasaran modal Malaysia

Pasaran modal Malaysia telah mencatat pertumbuhan lebih 4.4 kali kepada RM3.1 trilion setakat akhir 2018 sejak penubuhan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada 1983,  walaupun berdepan impak dua krisis kewangan.

Menurut Laporan Tahunan Suruhanjaya Sekuriti 2018 yang dikeluarkan hari ini, pencapaian sejak 25 tahun itu juga menunjukkan pasaran modal itu berkembang seiring dengan keperluan pasaran.

“Sejajar usaha itu, SC telah melabur dan melaksanakan inisiatif untuk mewujudkan ekosistem yang mempermudah perkembangan pasaran modal selain menyediakan pembiayaan ekonomi yang produktif serta cekap,” kata artikel bertajuk ‘Pertumbuhan Pasaran Modal Malaysia sejak 25 Tahun Lalu : Penggerakan Sumber Kewangan untuk Pembangunan Ekonomi’ laporan tersebut.

Ini termasuk pelaksanaan Strategi Pasaran Digital secara menyeluruh pada 2016 bagi mempermudah penyelesaian berasaskan pasaran yang inovatif serta membangunkan ekosistem kewangan digital yang kondusif.

“Bagi memastikan pasaran modal terus menyediakan pembiayaan bukan sahaja kepada perniagaan lebih besar tetapi juga syarikat kecil, kaedah pembiayaan alternatif yang berasaskan pasaran seperti pendanaan ekuiti ramai, dan pembiayaan antara rakan setara telah diperkenalkan.”

Menurut SC, ini merupakan bidang yang mana manfaat penggunaan teknologi baharu dapat dilihat secara jelas menerusi pengurangan kos memperoleh modal dan meningkatkan ketelusan bagi syarikat kecil  untuk lebih mudah diakses serta dilihat menarik kepada pelabur yang berpotensi.

Bagi melangkah ke hadapan dan seiring usaha Malaysia menjalani pembaharuan struktur dalam peralihan ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, SC akan terus mengharungi cabaran untuk memacu inisiatif baharu yang dapat mempermudah cara pengembangan pasaran modal serta meningkatkan akses terhadap pembiayaan bagi bidang pertumbuhan baharu.

“Ini perlu bagi ekonomi yang lebih moden dan pada masa sama dapat memastikannya kekal mampan dan inklusif,” kata SC.

Untuk rekod, pasaran bon meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) 12.1 peratus setahun sejak 1993 dan menyumbang sebanyak 45.3 peratus kepada pasaran modal Malaysia pada 2018 (1993: 11.6 peratus).

Pasaran bon ringgit juga adalah yang ketiga terbesar dari segi peratusan KDNK di Asia selepas Jepun dan Korea Selatan serta yang kedua terbesar dari segi saiz di ASEAN selepas Thailand.

Menurut SC, pertumbuhan pembiayaan berasaskan pasaran juga adalah sejajar dengan perubahan struktur dalam ekonomi Malaysia, terutamanya selepas krisis kewangan Asia pada 1997-1998.

Malaysia juga berjaya mempelbagaikan saluran pembiayaan berasaskan pasaran dengan membangunkan pasaran modal Islam (ICM), khususnya segmen sukuk.

ICM Malaysia berkembang pada CAGR sebanyak 10.9 peratus setahun kepada  RM1.9 trilion pada akhir 2018 berbanding RM294 bilion pada 2000.

“Sukuk juga kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pasaran bon domestik belum tebus pada 2018, menjadikan Malaysia pasaran sukuk terbesar di dunia,” kata SC.

Pertumbuhan yang berterusan dan struktur ekonomi yang lebih pelbagai telah meningkatkan keperluan pendanaan bagi perniagaan domestik dengan pasaran modal hutang berkembang menjadi satu alternatif penting untuk pembiayaan perniagaan dan melengkapi kredit bank.

Bon korporat merangkumi 45 peratus daripada jumlah pembiayaan perniagaan di Malaysia pada akhir 2017 berbanding hanya 8.8 peratus pada 1993.

Menurut SC, peranan dana pencen, syarikat insurans dan pelabur institusi lain juga penting bagi menggerakkan tabungan dengan melabur dalam pasaran modal domestik.

“Ini membolehkan pasaran modal terus menyediakan pembiayaan jangka panjang dengan teras yang lebih tertumpu kepada penerbitan bon korporat bagi membiayai aktiviti peniagaan dan pembangunan jangka panjang ekonomi negara, termasuk menguruskan keperluan pembangunan infrastruktur.”

Pasaran bon turut menyumbang lebih separuh daripada pelaburan infrastruktur sektor swasta sejak awal 1990-an dengan peningkatan pelaburan dicirikan oleh peningkatan sekular dalam pembentukan modal tetap kasar (GFCF) sejak bertahun-tahun lamanya.

Selain itu, pertumbuhan pasaran modal Malaysia bukan hanya dari segi saiz seperti yang dibuktikan menerusi pembangunan mantap dan komprehensif infrastruktur, institusi, kawal selia, dan produk sejak beberapa tahun lepas.

Malah, kemajuan ini jelas dipaparkan dalam indeks pembangunan kewangan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi Malaysia yang membolehkan perbandingan konsisten sepanjang masa dan antara negara.

Mengikut indeks IMF, perkembangan pasaran modal dapat dinilai melalui tiga aspek utama iaitu keluasan, akses dan kecekapan.

Pengukuran tersebut menunjukkan bahawa pembangunan keseluruhan sektor kewangan Malaysia telah bertambah baik secara ketara bagi tempoh antara 1993 dan 2016, disokong oleh kemajuan dalam ketiga-tiga aspek tersebut.

“Dari segi perbandingan di peringkat antarabangsa, Malaysia telah mencapai prestasi keseluruhan yang membanggakan dan mendahului negara-negara di pasaran sedang pesat membangun lainnya. Malah, dalam beberapa aspek pula, ia mendahului negara-negara di pasaran lebih maju.”

— BERNAMA