Malaysia Dateline

Penubuhan TASKI tiada kaitan dengan PASTI

Sejak awal penubuhannya, ABIM selaku Gerakan Ilmu dan Bakti beriltizam memperjuangkan isu-isu pendidikan serta penubuhan institusi berkaitan.

Penubuhan Tadika Islam ABIM bermula sejak tahun 1975. Laporan Muktamar kelima menyatakan pentingnya penubuhan kelas-kelas Tadika bercorak Islam. Selepas itu beberapa seminar, bengkel dan diskusi diadakan untuk membincangkan penubuhan TASKI sehinggalah ia menjadi realiti.

Memorandum Pelajaran 1974 yang dikemukakan oleh ABIM kepada kementerian Pelajaran antara lain memohon pihak kementerian supaya mengawasi perjalanan tadika-tadika yang dianjurkan oleh badan-badan atau pertubuhan-pertubuhan asing negara ini, untuk mengelakkan kanak-kanak Malaysia terpengaruh dengan kefahaman dan kebudayaan asing.

Pihak kementerian perlu menyelaras sukatan pelajaran yang diberikan kepada tadika di seluruh negara, bagi menjamin perkembangan sihat tadika-tadika berkenaan, selaras dengan matlamat pendidikan negara (25 Tahun ABIM, 1996).

Kebimbangan ini berasas terutama dari masyarakat Cina dan India yang tinggal di bandar manakala ibubapa tidak berniat menghantar anak mereka ke kelas prasekolah dikelolakan oleh pihak Kristian (kirdergarten).

Dengan perkembangan ini timbul kesedaran di kalangan masyarakat Islam tentang perlunya pendidikan Islam kepada kanak-kanak terutama ibu bapa yang bekerja.

Kesan daripada meningkatnya kesedaran mengenai kepentingan pendidikan Islam kepada kanak-kanak, ABIM negeri Kedah mengambil inisiatif menganjurkan Taman Asuhan Kanak-kanak Islam (TASKI), yang mula diperkenalkan di beberapa kawasan di Kedah pada tahun 1975, mengikut kurikulum percubaan yang berasaskan falsafah pendidikan Islam.

Idea ini dicetuskan oleh Ustaz Niamat (Allahyarham), Yang Dipertua ABIM negeri Kedah tahun 1972 -1977 dan tahun 1979-1982. Beliau telah meminta Ustaz Ghazali Abdullah untuk merangka silibus bagi TASKI.

Pendidikan prasekolah merupakan peringkat yang paling sesuai untuk menanam nilai-nilai murni Islam secara formal, kanak-kanak memerlukan rangsangan dan bimbingan untuk melengkapkan diri sebagai anggota masyarakat yang islami (Mahyuddin, 2004:11).

Menurut Wan Jefree, Ustaz Ni’mat bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain seperti Ustaz Ghazali Abdullah mula merangka kurikulum kursus perguruan TASKI sejak tahun 1978 lagi.

Kempen untuk mendapatkan calon-calon guru TASKI untuk diberi latihan, telah dijalankan oleh ABIM, khususnya Ustaz Ni’amat sendiri dengan kerjasama dan sokongan kuat daripada PPINK.

Pada tahun 1979, kursus perguruan TASKI yang pertama telah diadakan di Madrasah Makarimul Akhlaq, Langgar, Kedah selama lapan bulan. Jumlah peserta ialah seramai enam belas orang. Hampir keseluruhan peserta kursus terdiri daripada Ahli Helwa (Hal Ehwal Wanita) PPINK.

Antara para peserta itu ialah Anisah Bt Abdul Abdul Samad, Mariam Bt Yaacob, Fatimah Bt Yahya, Siti Aisyah Bt Adam, Munirah Bt Saad, Zaleha Bt Dahaman dan lain-lain lagi. Tenaga pengajar yang terlibat dalam kursus ini ialah:

1. Ustaz Ni’amat Bin Yusoff
2. Ustaz Abu Bakar Bin Awang
3. Ustaz Ghazali Bin Abdullah
4. Cikgu Haji Ibrahim Bin Haji Yaacob
5. Ustazah Sabariah
6. Cikgu Harun Bin Haji Zakaria
7. Syeikh Azmi Bin Ahmad
8. Ustaz Muhammad Bin Abdullah (Pak Long)

Tenaga lain yang terlibat dalam pengurusan kursus ini ialah:

1. Wan Jaffree Bin Wan Sulaiman (Kebajikan).
2. Fuad Bin Jahi Zakaria (Penyelenggaraan).
3. Abdul Razak Bin Haji Hashim (Setiausaha).
4. Wan Norzalelawati Bt Wan Yaacob (Perhubungan).

Pada tahun 1980, beberapa buah TASKI perintis telah dibuka di tempat-tempat berikut :

1. Madrasah Makarimul Akhlaq, Langgar, Kedah.
2. Masjid Batu Hampar, Pendang, Kedah.
3. Masjid Sungai Durian, Pokok Sena, Kedah.
4. Masjid Kedawang, Langkawi, Kedah.
5. Madrasah Alor Melong, Lorong Seri, Alor Setar, Kedah.
6. Masjid Bukit Aping, Serdang, Kedah.

TASKI dan Markaz ABIM Kedah di Alor Setar pada tahun 1986.

Antara guru-guru yang terlibat dalam TASKI-TASKI perintis ini ialah Anisah Abdul Samad, Siti Aishah Adam, Adawiyah Othman, Zaleha Dahaman, Mariam Yaacob, Munirah Saad dan beberapa orang lagi. Kurikulum TASKI Kedah dirangka secara rasmi pada tahun 1982. Ustaz Ghazali Abdullah telah diberi tanggungjawab memantau perjalanan TASKI-TASKI ini (Wan Jefree, 2004)

Pada tahun 1981 sebuah jawatankuasa Tetap kurikulum TASKI ditubuhkan oleh Biro Pendidikan yang diketuai okeh Dr Mohd Nur Manuty (1981-1983), untuk menggubal dan menyusun kurikulum TASKI.

Jawatankuasa ini dipengerusi oleh Haji Muhammad bin Kasim, ahli-ahlinya adalah Dr Sidek bin Baba, Wan A. Hamid Wan Teh, Ustaz Ni’amat Yusuf, Dr Ghazali Basri, Ustaz Ghazali Abdullah, Dr Khalijah bt. Salleh, Dr. Hasbullah bin Hussein, Dr Musa bin Matrak dan dr Abd Halim Muhammadi.

Jawatankuasa ini mendapat khidmat nasihat daripada Dr Tajul Ariffin bin Nordin dari Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Haji Ahmad bin Mohammad Said dari Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia (Mahyuddin, 2004:11)

Draf pertama kurikulum TASKI dilancarkan sempena Muktamar Sanawi ABIM Pusat pada tahun 1982 di Kolej Islam Kelang, Selangor. Kurikulum ini mengandungi tujuan dan objektif pendidikan TASKI, sukatan pelajaran, kaedah pelaksanaan, penilaian dan pengukuran dan lain-lain.

Antara TASKI terawal ditubuhkan pada peringkat ini ialah TASKI al-Huda, Peringgit, Melaka ditubuhkan pada Januari 1979, TASKI Teras Jernang, Bangi, Selangor dan TASKI Masjid Batu Hampar, Pendang, Kedah (Abdul Rahman, 1996,97).

Pada tahun 1983 TASKI mula ditubuhkan di seluruh negara dan bilangannya meningkat kepada 69 buah di Malaysia. Bilangan TASKI terus meningkat setiap tahun sehingga mencapai jumlah 358 buah taski pada tahun 2002.

Guru-guru ini mendapat latihan intensif daripada Institut Latihan Perguruan ABIM (ILPA), Pusat Latihan ABIM, (kini Dar al-Hikmah, Sg. Ramal Dalam, Kajang. Sekarang kursus ini dikendalikan oleh Yayasan Takmir Pendidikan.

Murid-murid TASKI di Kelang dalam satu majlis pada 1991.

Kursus ini meningkatkan kemahiran mengajar dalam bidang tertentu juga diadakan di negeri-negeri yang dianjurkan oleh Biro Pendidikan ABIM negeri dengan YTP negeri.
Mulai tahun 2001, kursus perguruan TASKI dikendalikan oleh Yayasan Takmir dengan kerjasama Kolej Dar al-Hikmah, Kajang (Mahyuddin, 2004).

Menurut Ustaz Mahyuddin Ashaari, TASKI ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada ahli ABIM dan masyarakat terutama di kawasan bandar.

Hal ini kerana ia berteraskan kurikulum yang bersepadu dan menyemaikan nilai-nilai Islam dalam kehidupan kanak-kanak. Namun, TASKI tidak dapat berkembang di kawasan kampung dan pedalaman kerana kekurangan guru terlatih dan kewangan (Mahyuddin, 2004).

Kini TASKI dipantau oleh Yayasan Takmir Pendidikan di bawah unit TASKI bagi memastikan mutu dan kualiti terpelihara. Pihak YTP mengadakan bengkel secara berkala untuk melatih guru-guru agar memahami falsafah dan konsep pendidikan TASKI.

Di samping itu, terdapat TASKI yang didirikan oleh ahli ABIM yang dikategorikan sebagai Rakan TASKI dengan menggunakan kurikulum sepenuh dari TASKI ABIM. Kini terdapat 250 buah TASKI di seluruh negara dengan jumlah murid sebanyak 8720 orang, 555 guru dan 76 staf.

(Dipetik daripada: Pendidikan Islam Dari Tradisional ke moden, terbitan ABIMPRESS, 2019)

*DR MOHD RUMAIZUDDIN GHAZALI merupakan bekas Timbalan Presiden ABIM.