Penulis buku nafi ugut Anwar, cuma tawar hak cipta

Penulis buku nafi ugut Anwar, cuma tawar hak cipta

Seorang penulis politik menolak dakwaan cuba menuntut bayaran RM400,000 daripada Anwar Ibrahim sekiranya presiden PKR itu tidak mahu beliau menerbitkan karyanya yang memuatkan tuduhan homoseks.

Sebaliknya, Yahaya Ismail, yang dalam proses menerbitkan bukunya “Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM”, berkata nilai RM400,000 itu adalah berdasarkan nilai hakcipta yang beliau bakal jual kepada pembeli.

Katanya pembelian hakcipta itu turut ditawarkan kepada Anwar dan Johari Abdul, ahli Parlimen Sungai Petani, yang semalam membuat tuduhan Yahaya cuba memeras ugut.

“Ini lazim dilakukan dalam bisnes penerbitan. Saya kemukakan naskah itu kepada beberapa individu tertentu untuk mereka beli hakcipta,” katanya.

“Saya letak harga jualan hakcipta RM400 ribu kerana saya tahu buku ini boleh jadi ‘bestseller’. Saya tidak perlu memeras ugut Anwar untuk menjual hakcipta buku itu. Itu kerja orang bodoh,” katany seperti dipetik.

Johari yang menuduh Yahaya seorang penulis upahan dan cuba memeras ugut Anwar, sudah membuat laporan terhadap penulisan itu.

Yahaya berkata manuskrip buku itu diedarkan kepada beberapa pihak.

“Saya memberi naskah itu kepada beberapa orang tertentu untuk mendapat komen mereka. Juga saya promosikan buku itu dalam WhatsApp melalui kulit buku tersebut. Itu bukan kesalahan buat promosi buku.”

Yahaya sebelum ini penah dituduh memfitnah dan mengugut Khairy Jamaluddin, ketika itu naib ketua Pemuda Umno, menerusi buku bertajuk “Tuah dan Sial Khairy Jamaluddin”.

Pada 1993, Yahaya pernah menerbitkan karyanya “Anwar Ibrahim Antara Nawaitu dan Pesta Boria”.

Menurutnya, Anwar dan Johari berhak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya sekiranya buku yang bakal diterbitkan itu mempunyai unsur fitnah terhadap mereka.

“Kalau dia tidak minat jangan beli. Tidak ada apa-apa paksaan sebab hakcipta itu saya yang punya. Saya berhak menerbitkan buku itu sendiri kerana hakcipta saya punya.

“Kalau saya terbit buku itu dan kalau Anwar atau Johari mengatakan saya fitnah, boleh saman saya kelak. Jadi apa masalahnya?” katanya.

Yahaya pada masa sama berkata beliau juga boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menuduhnya penulis upahan.

Yahaya, menyifatkan Anwar sebagai rakannya sejak 70-an, berkata beliau pernah mengadakan pertemuan 2 jam dengan Anwar di rumah pemimpin PKR itu.

“Saya mengkritik kepimpinannya, dan dia menjemput saya ke rumahnya untuk bincang hal politik selama dua jam dari jam 11.45 malam sampai 1.45 pagi.”