Malaysia Dateline

Penulisan berfakta, namun dicaci kerana tidak menyebelahi pemerintah, kata Pas

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi, mempersoalkan adakah wujud dua darjat atau kasta dalam dunia akademik mahu pun kewartawanan, jika seseorang itu tidak cenderung kepada pemerintah walaupun penulisan berasaskan fakta.

Persoalan itu beliau timbulkan susulan Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin menyelar tulisan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abdul Muein Abadi bertajuk ‘400 Hari Pakatan Jual Lebih RM20 Bilion Aset Negara?’.

Khalil berkata, tulisan Abdul Muein penuh dengan hujahan bernas dan fakta termasuk artikel sokongan sebagai rujukan daripada portal berita ternama dan arus perdana, antaranya The Edge Market dan Astro Awani.

Beliau berpendapat, jika benar Kadir mendakwa kononnya tulisan Abdul Muein tidak berasas mahu pun fitnah, penasihat media Perdana Menteri itu awal-awal lagi patut menempelak portal-portal berkenaan dan juga menghentikan penyebaran berita tersebut.

“Tidak cukup dengan menempelak, saya sarankan Kadir menggesa pihak kerajaan supaya menyaman atau menggantung kesemua lesen portal berkenaan kerana menyiarkan berita tidak benar.

“Malah ada berita-berita berkenaan sudah berbulan lamanya. Mengapa selepas Abdul Muein mengkaji, mengulas dan menulis, baru dikatakan tidak berasas dan menyebarkan fitnah?

“Jika condong kepada pemerintah, dipuji. Jika tidak, diherdik dan dicaci walau berfakta. Adakah ada dua darjat atau kasta di situ?

“Nyatalah kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh dikritik walau berfakta serta tidak menggambarkan Malaysia Baharu. Jika begini keadaanya, maka wajar kerajaan tumbang di Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Khalil yang juga anak kepada Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang percaya pensyarah kanan itu dan juga ahli akademik yang lain menghargai kebebasan bersuara yang dikecapi sekarang.

Beliau berkata, atas dasar kebebasan bersuara, kritikan Abdul Muein terhadap kerajaan adalah lebih bersifat teguran yang konstruktif agar lebih peka terhadap keadaan ekonomi negara.

“Sebagai seorang pensyarah kanan di universiti terkemuka, saya percaya sudah tentu Abdul Muein cukup berhati-hati dalam mengambil sumber, mengkaji dan menulis agar tidak berlaku fitnah.

“Kadir sebagai wartawan yang cukup berpengalaman dan senior serta berjawatan sebagai Penasihat Media Tun Dr Mahathir, saya rasakan beliau patut terbuka dan berlapang dada ketika kerajaan ditegur.

“Saya rasa cukup ramai wartawan yang beretika dan bersandarkan fakta ketika melapor dan menulis berita,” katanya.

Semalam, Kadir membidas tulisan seorang pensyarah dari UKM itu yang mengkritik keras kerajaan PH kerana dakwanya menjual harta negara.

Wartawan veteran itu berkata, Abdul Muein Abadi yang membuat naik status di laman Facebooknya pada Selasa itu, sebagai hujahan dan kecenderungan ideologi kakitangan akademi yang menabur fitnah.