Malaysia Dateline

Penumpang kepanasan digesa buat aduan kepada MAVCOM, elak kejadian berulang

Penumpang penerbangan Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Sabah yang dilaporkan berpanas di dalam pesawat digesa membuat aduan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Kementerian Pengangkutan.

Mereka yang tidak berpuas hati dan kepanasan kira-kira satu jam di dalam pesawat boleh membuat aduan melalui aplikasi FlySmart yang boleh dimuat turun melalui Apple App Store dan Google Play Store.

Mantan Penyelidik Malaysia Institute of Transport, UiTM Mohd Ikhmal Mohd Iskandar berkata, teguran-teguran keras tidak akan memberi kesan jika tidak disusuli sebarang tindakan konkrit dalam menangani ketidakpuasan hati para penumpang.

Beliau yang juga, Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH Negeri Perak berkata, kuasa yang ada pada MAVCOM mengikut Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771] membenarkan Suruhanjaya ini menyiasat sebarang aduan daripada para penumpang mengenai perkhidmatan yang dibekalkan oleh syarikat penerbangan atau lapangan terbang.

Penumpang kepanasan digesa buat aduan kepada MAVCOM, elak kejadian berulang
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM)

“Aduan ini perlu dibuat melalui aplikasi rasmi yang disediakan MAVCOM agar satu tindakan yang tegas dapat segera dilaksanakan bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang dan kualiti perkhidmatan udara dapat dipertingkatkan apatah lagi sempadan udara sudah mula dibuka,” katanya.

Pemuda Amanah Negeri Perak mendesak agar semua pihak yang terlibat bersikap serius dalam menangani sebarang isu berkenaan kualiti perkhidmatan udara ini dalam memastikan ia sentiasa berada pada tahap terbaik demi maruah negara Malaysia yang tercinta.

Penumpang penerbangan Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Sabah telah meluahkan kekecewaan mereka apabila dibiarkan kepanasan dalam kapal terbang disebabkan penghawa dingin rosak.

Menerusi video yang dikongsi kembali oleh pengguna Twitter @anthraxxx781, dapat dilihat para penumpang kepanasan dibiarkan dalam kapal terbang selama sejam dan anak-anak kecil juga menangis kerana tidak tahan.

Difahamkan, selain daripada dibiarkan kepanasan, penerbangan juga telah ‘delayed’ selama 2 jam. Perkongsian tersebut meraih perhatian orang ramai dan rata-rata netizen menzahirkan rasa kasihan kepada penumpang kerana dibiarkan berpanas dalam kapal terbang selama satu jam.